Dua petugas hospital yang berpakaian Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) membawa mayat pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur menjadi pasukan pertama di Malaysia yang melakukan bedah siasat ke atas mayat pesakit Covid-19 dan menemui cecair yang dikeluarkan daripada mayat tersebut masih mengandungi virus SARS-CoV yang aktif dan merbahaya.

Ini sekali gus memudahkan pasukan pengurusan pesakit Covid-19 termasuk melibatkan urusan pengebumian menguruskan mayat tersebut.

Senior Registrar Jabatan Perubatan Forensik HKL, Dr. Muhammad Uzair Ahmad Suriani foto SYAFIQ AMBAK, 21 MEI 2020

Menurut Senior Registrar, Jabatan Perubatan Forensik HKL, Dr. Muhammad Uzair Ahmad Suriani, setiap petugas diwajibkan memakai sentiasa memakai set perlindungan diri penuh (PPE) dan melakukan nyah-cemar ketika mengendalikan mayat berkenaan.

Tegasnya, tiada sentuhan secara langsung di antara petugas dengan kulit mayat pesakit Covid-19 bagi menghalang penyebaran virus tersebut.

“Pasukan kami telah melakukan satu bedah siasat. Hasil penemuan bedah siasat ini menunjukkan virus covid-19 berada di atas permukaan kulit mayat dan ini bertepatan dengan tatacara pengurusan mayat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia yang mana jenazah pesakit Covid-19 hanya perlu ditayammum.

“Ianya tidak boleh diuruskan secara biasa bagi memastikan keselamatan petugas.

Mayat pesakit Covid-19 sedang diuruskan di bilik mayat Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2020.

“Potensi atau risiko jangkitan daripada mayat pesakit Covid-19 kepada orang yang menguruskannya atau orang yang berada di sekelilingnya masih ada walaupun hos atau tuan punya badan telah meninggal dunia.

“Ini kerana hasil penemuan bedah siasat itu menunjukkan ada virus di permukaan badan serta terdapat virus Covid-19 daripada cecair yang keluar daripada rongga badan seperti hidung dan mulut.

“Dengan itu, keperluan bertayammum sangat diperlukan dan sentuhan secara langsung adalah tidak dibenarkan bagi memastikan keselamatan bersama,” katanya yang turut terlibat dalam bedah siasat pertama mayat pesakit Covid-19 kepada MalaysiaGazette.

Dua petugas hospital yang berpakaian Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) menguruskan mayat pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2020.

Jelas Mohd. Uzair, setiap mayat pesakit Covid-19 perlu dibalut dengan kain kapas putih terlebih dahulu oleh petugas di wad sebelum dimasukkan ke dalam dua lapisan beg mayat oleh petugas Jabatan Perubatan Forensik.

Permukaan luar beg mayat tersebut perlu dinyah-kuman selepas itu.

Prosedur ini wajib dilakukan oleh petugas kesihatan yang mengendalikan mayat pesakit Covid-19 termasuk dari Jabatan Perubatan Forensik dan pihak polis (bagi mayat yang dibawa dari lapangan/lokasi kes).

Penolong Pegawai Perubatan Jabatan Forensik HKL, Hisham Mohd. Nordin di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 21 MEI 2020

Dalam pada itu, menurut Penolong Pegawai Perubatan Jabatan Forensik HKL, Hisham Mohd. Nordin, tatacara pengurusan mayat pesakit Covid-19 bukan beragama Islam juga adalah sama.

Mayat yang telah dimasukkan ke dalam beg akan diserahkan kepada pasukan pengurusan mayat untuk disempurnakan proses persemadian mengikut pilihan waris.

Petugas syarikat berkenaan juga diwajibkan memakai PPE semasa mengendalikan mayat tersebut.

“Kami akan serahkan kepada petugas syarikat pengurusan mayat tersebut dan mereka sendiri sudah sedia maklum terhadap SOP yang telah ditetapkan KKM.

“Perkara paling penting adalah disiplin di dalam memastikan SOP berkenaan dipatuhi supaya virus tersebut tidak menular,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Hisham, Jabatan Perubatan Forensik HKL juga menyediakan peti mayat khas untuk pesakit Covid-19 sekiranya waris memerlukan sedikit tempoh untuk menyimpan mayat sebelum proses pengebumian dapat dilakukan.

“Sama seperti jenazah Islam, mayat bukan Islam pesakit Covid-19 juga perlu disegerakan proses persemadiaannya. Tetapi jika mereka memerlukan perkhidmatan menyimpan mayat buat sementara waktu, kami mempunyai peti mayat khas,” katanya lagi.- MalaysiaGazette