WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) telah melepasi sebanyak 100,000 angka korban wabak koronavirus, menurut Universiti John Hopkins.

Angka itu adalah tertinggi di dunia.

AS merekodkan sebanyak 1.69 juta kes jangkitan – iaitu 30% daripada jumlah kes Covid-19 di seluruh dunia.

Kali pertama AS melaporkan kes jangkitan adalah pada 21 Januari lalu di Washington.

Setakat ini, sebanyak 5.6 juta orang dilaporkan dijangkiti Covid-19 di seluruh dunia dengan 353,414 kematian selepas wabak tersebut kali pertama dikesan di Wuhan, China akhir tahun lalu.

Dengan jumlah kematian akibat Covid-19 di AS sebanyak 100.271 – ia hampir menyamai jumlah anggota keselamatannya yang terbunuh dalam peperangan di Korea, Vietnam, Iraq dan Afghanistan dalam tempoh 44 tahun.

Reuters pula melaporkan sebanyak 20 negeri merekodkan kenaikan dalam kes baharu koronavirus dalam tempoh seminggu yang berakhir Ahad lalu.

Kawasan paling tinggi adalah di kota metropolitan seperti di Chicago, Los Angeles dan Washington.

North Carolina, Wisconsin dan Arkansas juga menyaksikan kenaikan yang stabil.

Namun angka kematian di negeri-negeri yang terjejas teruk dengan koronavirus seperti New York telah mula menurun selepas merekodkan 21,000 kes kematian. – MalaysiaGazette