Lebuhraya Pan Borne yang masih dalam pembinaan.

KOTA KINABALU – Pertukaran kerajaan pada 2018 telah menyebabkan kelewatan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Abdul Rahim Bakri.

Beliau berkata, pertukaran kerajaan berkenaan telah menyebabkan penyelia pelaksana projek telah beralih tangan, kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah secara total.

“Untuk fasa 1 yang melibatkan 11 pakej iaitu sejauh 706 kilometer bermula dari Sindumin-Kota Kinabalu- Batu 32 Sandakan-Tawau dan juga jalan pesisir pantai dari Tuaran ke Kudat, yang kini sepatutnya 32 peratus siap.

“Namun disebabkan masalah berkenaan, kini terdapat kelewatan dan projek berkenaan, hanya mencapai 21.2 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, Lebuhraya Pan Borneo yang telah dirancang adalah sejauh 1,236 kilometer, dan ia sudah semestinya menjadi nadi penting penggerak ekonomi negeri Sabah.

Sehubungan itu Abdul Rahim berharap, kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, dapat melakukan sesuatu untuk menyegerakan pelaksanaannya projek berkenaan.

“Beliau berpengalaman dalam mengendalikan projek ini semasa beliau menjadi Menteri Kerja Raya semasa pemerintahan Barisan Nasional dahulu. Rakyat Sabah amat berharap menteri dari Malaysia Timur ini, dapat mengambil tindakan segera, untuk mengembalikan projek ini kembali berada di landasan yang betul, dan dapat menyegerakan pelaksanaannya,” katanya.

— BERNAMA