Di Malaysia, terdapat 27 spesies tupai termasuk 16 spesies yang dilindungi kini diancam kepupusan jika trend pemburuan sebagai makanan manusia tidak dikekang.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan penyelidik Jepun mendapati manusia boleh terdedah jangkitan virus Leptospirosis yang terdapat daripada tupai.

Penyelidik dari Institut Sains Chiba, Universiti Azabu, Institut Penyakit Berjangkit Nasional dan beberapa lagi pusat akademik dari Jepun mendapati aktiviti penyembelihan dan penyediaan makanan seperti tikus, tupai dan arnab, aktiviti dalam air, ruang perangkap air dan lain-lain boleh mendedahkan orang ramai kepada jangkitan.

Mengikut portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula, jangkitan boleh menyebabkan pendarahan yang teruk, masalah pernafasan, kegagalan fungsi hati, buah pinggang dan lain-lain komplikasi.

Baru-baru ini tular satu video bertajuk Trend Makan Tupai di Malaysia dimuatnaik di Youtube berdurasi 1 minit 26 saat menunjukkan seorang lelaki sedang memotong daging dan menyiat kulit tupai dipercayai untuk dimakan dan serta dipercayai untuk memulihkan tenaga batin.

Di Malaysia, terdapat 27 spesies tupai termasuk 16 spesies yang dilindungi kini diancam kepupusan jika trend pemburuan sebagai makanan manusia tidak dikekang.

Antara jenis yang dilindungi adalah daripada keluarga Sciuridae seperti Aeromys tephromelas (Tupai Terbang Hitam), Callosciurus prevostii (Tupai Gading), Hylopetes Lepidus (Tupai Terbang Pipi Kelabu), Hylopetes spadiceus (Tupai Terbang Pipi Merah), Petaurillus kinlochii (Tupai Terbang Terkecil) dan lain-lain.

Menurut Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, terdapat 11 spesies tupai yang terdapat di Semenanjung dan tidak dilindungi Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Antaranya Tupai Tompok, Tupai Pinang, Tupai Belang tiga dan Tupai Naning. Spesies tupai ini merupakan spesies yang dikategorikan sebagai musuh tanaman yang merosakkan pokok buah-buahan seperti kelapa, durian, nangka dan cempedak.

Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

“Spesies ini terdapat banyak di kawasan perkampungan, dusun dan ladang buah-buahan,” katanya baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, mengikut kajian pakar tupai adalah ejen pendebungaan untuk tanaman seperti durian malah ada yang mengatakan ia tahu buah durian yang sudah masak dan apabila ia menebuk makan, pokok akan mengeluarkan ethlyene untuk merangsang dan mempercepatkan buah durian masak.

“Kepupusannya pastinya menjejaskan proses semulajadi tanaman yang menjadi sumber kepada manusia,” katanya.

Tambahnya, memburu tupai dari kategori yang dilindungi merupakan kesalahan di dalam Akta 716.

“Seksyen 68(1) Akta 716 menyatakan, jika sabit kesalahan boleh didenda didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Adalah dinasihatkan supaya orang ramai tidak mengamalkan memakan tupai kerana terdapat spesies tupai yang dilindungi di dalam Akta 716.

“Populasi spesies yang dilindungi ini semakin berkurangan.

“Selain daripada itu, tupai juga dibimbangi membawa penyakit kepada manusia,” katanya.

Sementara itu, menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan cenderung kepada pengharaman memakan daging tupai mengikut mazhab Syafie.

Ia adalah bertepatan dengan kaedah Saddu al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar.

Tambahan lagi, tupai adalah merupakan hidupan liar yang dipelihara sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam Akta 716.

Malah, sesiapa yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakkan undang-undang serta hukuman.- MalaysiaGazette

VIDEO BERKAITAN: