Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah (tengah) menunjukkan laporan polis bersama NGO lain berkenaan isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 29 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) menyokong usaha kerajaan mengambil tindakan ke atas pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan melakukan tangkapan ke atas kumpulan tersebut ketika negara dilanda wabak pandemik Covid-19.

Presidennya, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, PATI yang ditangkap perlu dihantar pulang ke negara asal selain menggesa pihak kedutaan masing-masing mengambil tanggungjawab terhadap masalah tersebut.

“Hari ini saya buat laporan untuk minta pihak polis jalankan siasatan dibawah Seksyen 15 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) kepada mana-mana pihak yang cuba lindungi PATI begitu juga Seksyen 12 Akta-Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Kita terbuka untuk bekerjasama dengan kerajaan dan harap Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) turut buat semakan ke atas badan bukan kerajaan (NGO) yang cuba melindungi PATI ini, adakah mereka ada dapat sumber kewangan dari mana-mana negara atau sebagainya.

“Mohon juga Kementerian Dalam Negeri atau agensi berkaitan ambil berat tentang isu ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

Terdahulu Mohd. Ridzuan bersama wakil Persatuan Pembangunan Ekonomi Peniaga-peniaga Kecil Kuala Lumpur membuat laporan polis terhadap pemimpin politik, beberapa NGO termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang membantah proses penangkapan dan penghantaran pulang PATI bagi membendung wabak Covid-19 di negara ini.

Dalam masa sama, beliau turut khuatir tentang isu pengangguran dalam kalangan warga tempatan ekoran ramai PATI mengambil kesempatan berniaga secara tidak sah di negara ini.

“Saya difahamkan hanya kira-kira 2.1 juta warga asing sahaja punya dokumen sah manakala selebihnya merupakan PATI, mereka ini bukanlah golongan profesional dan ada juga yang lakukan jenayah di negara asal kemudian datang ke sini.

“Peniaga-peniaga PATI di tepi jalan perlu dibersihkan selain daripada di dalam pasaraya. Itu belum dikira yang hantar duit ke kampung mereka setiap bulan, berapa banyak duit mengalir keluar dari negara ini,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegur pemimpin politik dan NGO untuk tidak menjadi hero dalam soal PATI kerana kerajaan sudah bertindak sebaiknya.

Menurut Ismail Sabri, pihak Suhakam mungkin keliru kerana warga asing mempunyai dua kategori iaitu mereka yang mempunyai permit kerja untuk masuk secara sah ke negara ini manakala yang kedua mereka yang tidak mempunyai sebarang dokumen. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Pendatang asing tanpa izin (PATI) dulu diberi permit kerja semula . kerja PATI qualified ke ? Gaji tinggi berbanding pekerja Malaysia di banyak sektor sampai pekerja Malaysia susah untuk dapat kerja.

Comments are closed.