Artis, Shah Radhi Hazvee diiringi anggota polis ketika hadir ke mahkamah untuk didakwa atas pertuduhan melarikan isteri orang di Mahkamah Majistret dan Sesyen Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 29 MEI 2020

AMPANG – Seorang pelakon drama dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan memikat isteri orang dan mengajak melakukan persetubuhan.

Muhammad Shah Radhi Hazvee, 24, atau dikenali dengan nama pentas Shah Hazvee, memakai baju T berbelang kelabu hitam dan seluar khakis, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar.

Mengikut tuduhan, pelakon drama Monalisa dan Hero itu didakwa memikat isteri orang berusia 36 tahun dan supaya wanita itu melakukan persetubuhan dengannya.

Muhammad Shah Radhi didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya S Sangitaa menawarkan jaminan RM6,000 kepada tertuduh, bagaimanapun peguamnya Harcharanjit Singh memohon supaya anak guamnya dijikat jamin dengan wang jaminan berjumlah RM2,000.

Beliau berkata, tujuan jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah.

Katanya memetik laporan BH Online, anak guamnya adalah seorang artis dan tiada sebab untuk melarikan diri.

Farah Nasihah membenarkan Muhammad Shah Radhi diikat jamin dengan wang jaminan RM2,300 dengan seorang penjamin.

Difahamkan bahawa pelakon itu dijamin oleh kakaknya. – MalaysiaGazette