Suruhanjaya Tenaga (ST) akan mengadakan proses bidaan kompetitif untuk memilih syarikat atau konsortium bagi pembangunan loji janakuasa solar photovoltaic (PV) berskala besar (LSS) di Semenanjung Malaysia bernilai RM4 bilion dengan sasaran kapasiti berjumlah 1,000MWac.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Tenaga (ST) akan mengadakan proses bidaan kompetitif untuk memilih syarikat atau konsortium bagi pembangunan loji janakuasa solar photovoltaic (PV) berskala besar (LSS) di Semenanjung Malaysia bernilai RM4 bilion dengan sasaran kapasiti berjumlah 1,000MWac.

ST dalam kenyataan hari ini berkata bidaan kompetitif bagi Program Solar Berskala Besar oleh Industri Elektrik Malaysia bagi Menarik Pelaburan Semula ([email protected]) itu ditawarkan dalam dua pakej.

Bagi Pakej 1 dengan jumlah kuota ditawarkan sebanyak 500MWac, julat kapasiti yang ditawarkan ialah antara 10MWac hingga kurang dari 30MWac; manakala Pakej 2 dengan jumlah kuota ditawarkan juga sebanyak 500MWac, julat kapasiti yang ditawarkan ialah antara 30MWac dan 50MWac.

“Ini merupakan langkah kerajaan untuk memulihkan dan merangsang ekonomi berikutan penularan wabak COVID-19 yang telah menjejaskan ekonomi negara.

“Ia juga bertujuan merancakkan pembangunan industri pembekalan elektrik negara khususnya industri tenaga boleh baharu (TBB),” kata suruhanjaya itu.

Selaras dengan hasrat memastikan pelaburan dalam bidang TBB memberi manfaat kepada rakyat tempatan, ST berkata kerajaan menetapkan supaya penyertaan hanya dibuka kepada syarikat yang diperbadankan di Malaysia di bawah Akta Syarikat 2016.

“Syarikat-syarikat tersebut hendaklah mempunyai 100 peratus pegangan saham tempatan, kecuali bagi syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia yang hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya 75 peratus pegangan saham tempatan,” kata suruhanjaya itu.

Bagi tujuan itu, ST mempelawa syarikat atau konsortium yang berpengalaman dalam melaksanakan projek yang berkaitan dengan penjanaan tenaga, termasuk pembiayaan projek dan pengoperasian loji janakuasa atau pepasangan elektrik, untuk mengambil bahagian dalam proses bidaan mengikut kriteria yang ditetapkan dalam dokumen Permintaan Cadangan (RFP).

Dokumen RFP akan mula dijual dengan bayaran RM2,000 bagi setiap dokumen bermula 31 Mei ini sehingga pukul 5 petang 12 Jun secara dalam talian sahaja melalui laman sesawang www.st.gov.my sebagai langkah mengelakkan penularan wabak COVID-19.

Tarikh tutup penyerahan RFP yang lengkap adalah sebelum pukul 5 petang pada 2 September 2020.

Suruhanjaya Tenaga telah memulakan proses bidaan kompetitif untuk pembangunan LSS sejak 2016 dan sehingga kini sebanyak 57 syarikat/konsortium telah terpilih bagi membangunkan loji janakuasa berkapasiti sekitar 1,384.21MW di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.- BERNAMA