Tekun Nasional Sarawak sediakan skim pembiayaan kepada rider penghantar.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di Malaysia bermula 18 Mac 2020, khidmat penghantaran makanan dalam talian menjadi begitu penting dan permintaan untuk
mendapatkan servis para penghantar makanan (rider) meningkat dengan ketara. Khidmat rider ini sebenarnya tidak terhad kepada makanan sahaja bahkan juga termasuk perkhidmatan yang
berkaitan contohnya membeli dan menghantar barangan keperluan harian, menjadi tukang beli peribadi (personal shopper) dan lain-lain. Kebanyakan rider menggunakan motosikal kerana faktor penjimatan kos (kos petrol yang minima) selain daripada faktor pergerakan yang lebih mudah dan pantas untuk sampai ke satu-satu destinasi pelanggan.

Seiringan dengan itu, kita juga seringkali dihidangkan dengan berita-berita yang menyentuh emosi apabila terdapat rider
yang terlibat di dalam kemalangan dan nahas jalan raya (sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan parah) semasa melunaskan tanggungjawab mereka. Persoalannya, adakah rider dilindungi oleh undang-undang, atau secara ringkasnya, apakah hak-hak mereka jika berlaku nahas yang tidak diingini semasa menghantar makanan atau apa jua
barangan pesanan kepada pengguna?

Antara undang-undang yang berkaitan ialah undang-undang torts, yang mana tuntutan boleh dibuat di bawah skop kecuaian. Jika rider adalah seorang pekerja  kepada mana-mana syarikat, prinsip liability vikarius (vicarious liability) boleh diguna pakai. Permasalahan utama yang mungkin timbul ialah rider secara umumnya dianggap  ‘independent contractor’ dan bukannya “pekerja tetap”
kepada syarikat-syarikat yang berkaitan.

Hal ini bersandarkan kepada bidang kerja rider yang terhad kepada menyediakan perkhidmatan berasaskan permintaan dan bukannya dianggap sebagai employee kepada mana-mana syarikat yang menyediakan perkhidmatan penghantaran
makanan. Secara umumnya, syarikat-syarikat yang terlibat berfungsi sebagai orang tengah yang menghubungkan rider dan pengguna melalui aplikasi tertentu. Situasi ini menyukarkan rider untuk dianggap sebagai pekerja kepada syarikat berkenaan, sekali gus hak-hak seorang pekerja yang perlu disediakan oleh syarikat adalah tidak diperolehi oleh rider.

Salah satu cara untuk memastikan hak dan perlindungan rider lebih terjamin ialah melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), tertakluk kepada syarat-syarat yang dikenakan dan
juga caruman dibuat. Bagi pekerja sesebuah syarikat swasta, caruman biasanya dilakukan oleh pihak syarikat, tetapi bagi kes rider, oleh kerana rider tidak dianggap employee kepada syarikat
tertentu, maka caruman hendaklah dilakukan sendiri oleh pihak rider. Namun begitu, ada juga syarikat yang proaktif dalam menjaga hak rider, contohnya Foodpanda Malaysia yang telah
membuat caruman melalui Perkeso untuk memastikan perlindungan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada 2,544 penghantar makanan mereka.

Perkeso menyediakan SKSPS untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017. Mulai 1 Januari 2020, perlindungan SKSPS telah  diperluaskan kepada 19 sektor pekerjaan sendiri termasuk pengangkutan barangan dan makanan. Individu bekerja sendiri yang mencarum
di bawah skim ini akan mendapat perlindungan bermula dari tarikh dan masa caruman dibayar dan diperakui menerusi resit bayaran caruman. Melalui skim ini, rider adalah dlindungi daripada bencana pekerjaan yang merangkumi kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan. Sememangnya tugasan rider adalah sentiasa terdedah kepada risiko kemalangan dan bencana-bencana yang lain, dan sewajarnya setiap rider tahu hak dan perlindungan yang diperuntukkan apabila terjadi nahas yang tidak diingini.

Dr Suzi Fadhilah Ismail, pembaca MalaysiaGazette