Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. foto HAZROL ZAINAL, 01 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Unjuran baharu mengenai penularan wabak Covid-19, akan dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) berlandaskan data diperoleh dalam tempoh sebulan yang lalu.

Model unjuran itu bakal memberikan lebih maklumat kepada KKM dalam merangka strategi kawalan penularan jangkitan wabak terbabit untuk masa akan datang, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

“Mungkin esok kita akan kongsikan permodelan untuk melihat kepada jangkaan di mana Malaysia pada sebulan lalu, hari ini dan akan datang,” katanya pada sidang media harian Covid-19, di kementeriannya di sini, hari ini.

Menurut Noor Hisham lagi, berdasarkan unjuran tersebut, pihaknya mendapati warganegara negara ini patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh KKM.

Bagaimanapun, bagi yang bukan warganegara dan ditolak mereka di depoh tahanan imigresen (DTI) dan kes import, ia masih lagi dalam lingkungan 0.3 peratus dan ia jumlah itu akan terus dipantau.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata, lebih banyak sektor yang membabitkan rakyat tempatan akan diberi kelonggaran untuk beroperasi semula, selari penyusutan kes harian Covid-19.

Katanya, penelitian berdasarkan data dan fakta sedia ada membuktikan rakyat Malaysia patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

Tambah beliau, amalan disiplin sosial itu menyebabkan kadar penularan tempatan terus berkurangan meskipun memasuki hari kelapan Syawal, selain merekodkan kes baharu berkadar satu angka.

“Sudah lapan hari kita merayakan Aidilfitri, tiada peningkatan kes, justeru menunjukkan rakyat tempatan patuh kepada SOP.

“Minggu depan juga kita jangkakan tiada peningkatan kes selepas raya dan jika perkembangan seperti ini berterusan, mungkin kita akan beri kelonggaran sektor membabitkan rakyat Malaysia,” jelasnya. – MalaysiaGazette