Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Ahli keluarga dan kontak rapat kakitangan Wisma Putra yang disahkan positif Covid-19 berjaya dikesan, kelmarin.

Ketua Pengarah, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 18 individu yang dikesan merupakan ahli keluarga yang termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi dijangkiti wabak tersebut.

Katanya, 38 individu lagi adalah rakan sekerja di Wisma Putra.

“Semalam dilaporkan seorang kakitangan Wisma Putra disahkan dijangkiti Covid-19.

“Kita sudah mengenal pasti mereka yang berisiko tinggi iaitu ahli keluarga kakitangan terbabit.

“Semua mereka sudah menjalani saringan kesihatan dan tiada seorang pun dari mereka dijangkiti Covid-19,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
.
Bagaimanapun Noor Hisham berkata, KKM tetap meminta individu terbabit menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

Tambah beliau, pihaknya sudah membuat saringan kesihatan Covid-19 kepada semua individu terbabit dan hingga kini semua mereka tidak dijangkiti wabak berkenaan. – MalaysiaGazette