Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan perokok supaya berhenti daripada tabiat itu kerana perbuatan tersebut boleh meningkatkan risiko terhadap jangkitan bakteria virus, terutama semasa wabak Covid-19.

Ketua Pengarah, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini memaklumkan beberapa kajian dijalankan di luar negara mendapati golongan perokok adalah berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk jika dijangkiti Covid-19.

“Covid-19 adalah penyakit berjangkit yang menyerang terutamanya paru-paru. Merokok merosakkan fungsi paru-paru,
justeru menjadikan badan kita lebih sukar untuk melawan Coronavirus dan penyakit- penyakit lain,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi atau NHMS 2019 yang dilancarkan baru-baru ini, prevalen rakyat Malaysia yang menghidap darah tinggi adalah sebanyak 30 peratus dan penyakit kencing manis adalah sebanyak 18.3 peratus.

Katanya, golongan tersebut berisiko untuk mendapat komplikasi yang teruk sekiranya dijangkiti Covid-19, apatah lagi jika mereka mempunyai risiko tambahan seperti amalan merokok.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. foto SYAFIQ AMBAK, 13 APRIL 2020

“Melalui NHMS 2019 juga, memandangkan 21.3 peratus rakyat Malaysia dianggarkan merokok, maka mereka lebih terdedah kepada risiko komplikasi Covid-19 berbanding mereka yang tidak merokok.

Katanya, penelitian dan analisa awal berkaitan sejarah merokok dan faktor risiko penyakit tidak berjangkit yang telah dijalankan ke atas 86 daripada jumlah pesakit Covid-19 yang telah meninggal dunia di Malaysia, didapati 19.8 peratus iaitu 17 orang terdiri daripada golongan perokok.

Ujarnya, analisa juga mendapati, bagi kes kematian Covid-19 yang tidak mempunyai sejarah penyakit kronik tetapi merokok, jumlah kematiannya adalah lebih tinggi berbanding kes kematian
yang bukan perokok atau 17.6 peratus berbanding 12.1 peratus.

Tegasnya, KKM terus membuat pemantauan bagi kesalahan penjualan produk rokok walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, kesalahan penjualan di atas talian dan kesalahan penjualan produk yang mengandungi nikotin adalah masing-masing dikawal di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan Akta Racun 1952.

“Sepanjang penguatkuasaan PKP dan PKPB, didapati sebanyak 118 laman sesawang persendirian, e-dagang dan media sosial telah melakukan kesalahan. Tindakan telah diambil ke atas mereka.

“KKM berharap agar lebih ramai lagi perokok proaktif dan mengambil tanggungjawab untuk bertindak segera demi menjaga kesihatan diri sendiri serta melindungi orang yang dikasihi terutamanya warga emas dan kanak-kanak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast