Sebahagian daripada warga asing etnik Rohingya dilihat bersantai sambil berkumpul beramai-ramai di kaki lima premis yang sebelum ini merupakan antara lokasi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 12 Mei lalu berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2020.

PUTRAJAYA – Satu jawatankuasa khas di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) ditugaskan untuk memantau tahap kepatuhan rakyat dan warga asing terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memutuskan rantaian Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun rakyat negara ini mematuhi SOP Covid-19 tetapi tahap pematuhan dalam kalangan pekerja warga asing di negara ini sangat membimbangkan.

“Semalam kita dah menunjukkan permodelan kita (KKM) yang mana rakyat kita patuh kepada SOP yang disyorkan, tetapi kebimbangan kita di KKM ialah pekerja warga asing, (tidak mematuhi peraturan).

“Jadi hari ini kita juga bincang di mesyuarat MKN supaya satu jawatakuasa yang sedia ada akan melihat kepada kepatuhan pekerja warga asing mengenai SOP yang telah dikeluarkan KKM dan pelaksanaan itu penting.

“Kalau rakyat Malaysia dan juga pekerja warga asing dapat patuh kepada SOP yang kita tetapkan secara tegas, nescaya kita dapat tamatkan ataupun putuskan rantaian jangkitan Covid-19 dalam negara kita,” katanya dalam sidang media di KKM hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ketika diminta mengulas mengenai persediaan SOP baharu KKM sekiranya negara sudah bersedia untuk membuka lebih banyak sektor ekonomi.

Semalam, Noor Hisham menjelaskan, graf kes harian sebenar merangkumi semua kes Covid-19 di negara ini menunjukkan peningkatan ketara melibatkan kes positif dalam kalangan bukan warganegara berbanding warga tempatan sejak 29 April lalu.

Malah katanya ia dipengaruhi faktor penularan kes import dari luar negara dan penularan wabak dalam kalangan bukan warganegara di dalam negara membabitkan di beberapa depoh tahanan Imigresen selain pekerja warga asing dalam pelbagai sektor termasuk binaan di negara ini.

Menyentuh mengenai kesediaan membuka sektor ekonomi lain serta SOP baharu, Noor Hisham berkata, Akta 342 perlu dilanjutkan untuk pemantauan dan pengawasan berterusan tahap pematuhan SOP dalam kalangan pekerja warga asing.

“Dengan pematuhan itu nanti sekiranya Malaysia berjaya catatkan kes satu angka atau dua angka, ini bermakna kita bersedia melaksanakan exit strategy,” katanya. -MalaysiaGazette