Gambar hiasan

KETIKA saya menulis ini pada suatu petang bertarikh 20 Mei 2020, perasaan sebak dan haru biru mula menyerang benak fikiran saya yang jarang sekali tersentuh mengenai hal-hal semi sensitif ini.

Sekalian umat manusia kian akur bahawa Covid-19 yang melanda dunia hari ini ini serba sedikit memporak-perandakan punca rezeki dan periuk nasi kita semua. Bukan Mak cik Kiah sahaja terkesan. Tapi pak lebai hujung kampung, pemilik rumah sewa yang menyewakan kepada pelajar-pelajar universiti kat ceruk bandar dan mak cik maimunah ketua bahagian parti pun terkesan dek pandemik gila ini.

Kalau di Amerika Syarikat, terdapat juga sebahagian rakyatnya berdemonstrasi dan tunjuk perasaan untuk mendesak kerajaan negara itu untuk membuka sektor ekonomi dan membantah perintah berkurung yang dilaksanakan walaupun kes positif dan kematian akibat Covid-19 sedang mencanak naik hingga ratusan ribuan orang. Dulu kita selalu dimomokkan bahawa Amerika Syarikat lah pelopor hagemoni ekonomi dunia, tetapi belangnya terlihat ketika pandemik ini menyerang mereka, mereka juga gagal untuk mengurus survival ekonominya.

Nak katanya, saya diberi peluang buat pertama kalinya semasa PKP diumumkan tempoh hari untuk bersama beberapa orang anak muda berpangkal di Sekolah Baroka, Jalan Dhoby di sekitar Bandaraya Johor Bahru untuk menggerakkan satu inisiatif membantu golongan kurang bernasib baik antaranya gelandangan yang hilang pekerjaan, tiada tempat untuk berteduh, pakaian kekal sama saban hari dan mak ayah yang terbiar oleh anak-anak mereka yang berkeliaran dan menyusup di sekitar bandaraya kota metropolitan itu.

Kesian memang kesian. Sudahlah tidak celik tentang isu semasa negara khususnya berkaitan dengan Bantuan Prihatin Rakyat yang diumumkan oleh Perdana Menteri bulan Mac yang lalu.
Bila ditanya “Ada mintak bantuan kerajaan?” katanya sama ada tidak tahu atau memang membisu buta dan mengemam bibirnya.

Bila ditanya “Datang naik apa?” katanya berjalan kaki dari Tambak Johor hingga ke Jalan Dhoby semata-mata untuk mendapatkan bungkusan makanan dari kami. Bila ditanya “Kerja apa? Sekarang buat apa?” katanya duduk merempat dekat kaki lima sebab baru sahaja dibuang kerja. Kalau nak perhatikan statistik, menurut ketua perangkawan negara iaitu Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin bertarikh 9 April 2020 kira-kira 78.723 ribu responden hilang pekerjaan melalui surveinya.

Di Johor kira kira 15,000 pekerja yang diberhentikan serta merta akibat pandemik yang melanda seluruh negara. Maka, saya dan kawan-kawan terus menyediakan pek sumbangan makanan berbuka puasa dan makan malam buat para penerima yang hamper kurang lebih 150 orang jumlahnya menerima sumbangan itu. Rata-rata kelihatan sama sahaja mereka wajah mereka seperti acara-acara kami sebelum ini.

Kalau berkesempatan memandu kenderaan atau membonceng motosikal di kawasan bandaraya berkenaan, ia kelihatan gah dengan seni bangunan yang punyai nilai sentimentalnya, ukiran dan reka bentuk moden yang mengngiurkan dan jalan berturap penuh sempurna telah menjustifikasikan bahawa kawasan ini pasti didiami oleh sang elitis yang ribu-ribu dan juta-juta projeknya.

Poket-poket mereka penuh dengan wang ringgit, hari-hari mereka padat dengan pertemuan-pertemuan bersama dengan pemegang taruh tender projek dan pegawai daerah serta makan tengah
hari mereka bukanlah di warung tepian jalan tetapi di restoran elit yang secawan Teh Ais – nya ialah RM6.70. Bukan setakat sang elitis, tetapi sang politikus juga sedang sibuk rampas-merampas kuasa dikala Covid-19. Saya ingat lagi ketika menulis hal ini, ada membaca group Whatsapps dengan kawan
kawan yang sengaja cuit-mencuit rakannya yang suka sangat berpolitik ketika Covid-19 ini. Mana taknya, penyokong tegar parti.

Sebab kawan ini terlalu geram bila sebahagian dari penyokong tegar parti selalu meratibkan “Hentikan politik ketika Covid-19!”.

Akan tetapi parti merekalah yang sibuk merebut kuasa di satu-satu buah negeri. Ironi sungguh. Lawaknya begini “Untungnya korang, sarapan pagi Menteri Besar (MB) lain. Tup tup, nak makan malam dapat Menteri Besar (MB) baru. Tak rasa bersalah ke menjilat ludah sendiri?” Agak ganas perbualan mereka.
Saya menulis hal ini hanya ingin membuatkan kita berfikir bersama, dek sang politikus sibuk merebut kuasa tak kisahlah mereka ini orang Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan ke, sejauh mana sumbangan dan refleksi kita terhadap masyarakat marhaen yang susah hidupnya semacam ini? Sejauh mana keimanan kita untuk membantu orang susah yang sekian lama bertambah jumlahnya saban hari? Tanpa kita menduga bahawa disebalik kemegahan bangunan dan empayar syarikat yang dibina di bandaraya ini, terdapat 1001 manusia sedang menghulurkan tangan untuk terus hidup dan tidak punyai langsung jaminan masa hadapan.

Luthfi Yusri merupakan seorang penulis, pemerhati politik negara dan aktivis