Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Seorang bekas pengarah institut penyelidikan hari ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu, bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu.

Menurut sumber, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu esok, untuk membolehkan permohonan reman dikemukakan.

Suspek yang berusia 50-an, disyaki bersubahat mengemukakan tuntutan palsu berkaitan kerja-kerja di institut berkenaan, berjumlah hampir RM70,000 dan ditahan kira-kira pukul 10 pagi tadi bersama tiga lagi individu daripada syarikat pembekal, di Pejabat SPRM Terengganu.

Difahamkan, tuntutan berkenaan dipercayai dibuat sepanjang tahun 2018, semasa suspek menjawat jawatan berkenaan.

Pengarah SPRM Terengganu Ruslan Che Amad yang dihubungi pemberita mengesahkan tangkapan berkenaan, namun enggan mengulas lanjut. – Bernama