A'zlan Abu Bakar
Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT), A'zlan Abu Bakar. foto AFFAN FAUZI, 28 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat pada Julai ini digesa menyegerakan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) melibatkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45 iaitu berkenaan hukuman kepada pemandu mabuk.

Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut), A’zlan Abu Bakar menegaskan, pindaan itu penting untuk meningkat hukuman kepada pemandu mabuk yang mengakibatkan kehilangan nyawa agar lebih takut kepada undang-undang.

“Tuntut menggesa agar cadangan ini segera untuk dimuktamadkan dan mendapat kelulusan mudah serta diberi keutamaan apabila dibentangkan dalam Parlimen Julai nanti.

“Ini jelas merupakan perkara penting kerana kita tidak mahu lagi orang ramai luar sana terutamanya kaki mabuk memandang acuh tak acuh perihal ini.

“Memang, hukuman yang lebih berat sahaja akan memberi kesedaran dan ketakutan kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Pas mencadangkan Kerajaan Pusat menghentikan semua aktiviti pengeluaran, perniagaan dan penjualan minuman beralkohol sehingga satu jawatankuasa khas Kabinet dibentuk bagi menangani kes kemalangan yang diakibatkan oleh pemandu mabuk.

Dalam pada itu, Tuntut juga menyambut baik gesaan Pas itu bagi memastikan episod kemalangan maut yang berpunca daripada pemandu di bawah pengaruh alkohol dapat dihentikan serta-merta.

“Kita amat berharap tiada lagi kes seumpama ini berlaku tambahan jika sehingga melibatkan kematian maut selepas ini. Sedih kalau kita dapat ia melibatkan mangsa dalam kalangan keluarga sendiri.

“Tuntut juga ingin menggesa supaya pemandu jalan raya supaya bersikap lebih bertanggungjawab selepas ini. Jangan sesekali memandu di bawah pengaruh alkohol kerana terbukti akan menyebabkan kematian,” katanya.

Malah Tuntut turut menyokong cadangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia agar pindaan Akta Pengangkutan Jalan itu mengenakan hukuman mati kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut.

“Kami menyokong cadangan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki agar kerajaan menggubal akta hukuman lebih berat iaitu hukuman mati kepada pemandu mabuk yang mengakibatkan kematian mangsa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette