Op Alkohol sejak 27 Mei lalu menyaksikan 23 orang ditahan dan masih ramai memandu dengan mabuk semasa dalam pemeriksaan pasukan IPD PJ di sekatan jalan. Foto Ihsan: IPD PJ

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan seramai 23 individu atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol Op Alkohol yang dilakukan pada 27 Mei hingga 2 Jun ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, seramai 830 orang diperiksa membabitkan 803 buah kenderaan di sekatan jalan raya Op Alkohol yang berlangsung selama tujuh hari.

“Polis hasilnya berjaya menahan 23 orang kerana memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi daripada had yang ditetapkan iaitu 80 Miligram per 100 Mililiter.

“Berdasarkan statistik dalam tempoh seminggu Op Alkohol dijalankan, telah berlaku sedikit penurunan dipercayai disebabkan liputan meluas pihak media massa di dalam isu keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ezanee, dalam operasi semalam antara jam 11 malam hingga 3 pagi polis memfokuskan membanteras dan mencegah pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol sekali gus membahayakan keselamatan dan juga kematian terhadap orang lain.

Tambah beliau, sepanjang operasi malam tadi, seramai 78 orang pengguna dan 60 buah kenderaan telah diperiksa.

“Daripada jumlah itu tiga orang lelaki berumur antara 28 hingga 42 tahun berjaya ditahan kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi tahap kandungan alkohol yang ditetapkan.

“Pada masa yang sama, polis juga mengeluarkan sebanyak sembilan saman ke atas pelbagai kesalahan trafik dan mereka telah ditahan dan disiasat dibawah Seksyen 45(A)1 Akta Pengangkutan Jalan 1987

“Hasil tinjauan operasi semalam mendapati masih ramai lagi pengguna jalan yang mengambil minuman keras sebelum memandu atau menunggang kenderaan.

“Tindakan ini dilihat sangat membahayakan diri mahupun pengguna jalan yang lain,” katanya. – MalaysiaGazette