KUALA LUMPUR – Polis telah membuka kertas siasatan kesalahan kecuaian dan pengabaian ke atas kanak-kanak di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 ke atas ibu bapa kanak-kanak perempuan yang ditemui berseorangan di tepi jalan di Taman Prima Saujana, Kajang semalam.

Kanak-kanak tersebut dijumpai berjalan bersendirian di kawasan tersebut sebelum diserahkan kepada polis.

Serentak dengan penemuan kanak-kanak 5 tahun itu, polis telah menggerakkan pasukan untuk mengesan ibu bapa kanak-kanak tersebut.

Selepas 2 jam laporan dibuat, ibu kanak-kanak yang dijumpai telah datang ke balai polis apabila menyedari anaknya tiada di rumah.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, semakan dan siasatan polis mendapati ibu bapa kanak-kanak tersebut merupakan warga negara Thailand umur lingkungan 30-an, bekerja di sebuah restoran di Kajang.

”Pihak polis sudah menghantar kanak-kanak itu ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan. Susulan insiden ini, kami membuka kertas siasatan menjurus kepada kesalahan kecuaian dan pengabaian terhadap kanak-kanak mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, ibu bapa kanak-kanak perempuan itu diperlukan untuk tindakan siasatan lanjut .

Justeru orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengabaikan anak-anak kerana ianya adalah menjadi satu kesalahan dibawah Akta Kanak- Kanak 2001. – MalaysiaGazette