Petugas unit vektor Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan kerja-kerja penyemburan asap di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Menara City One untuk mencegah pembiakan nyamuk Aedes ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap pencegahan, pemantauan dan rawatan demam denggi ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, statistik kes demam denggi untuk lima bulan pertama tahun ini menunjukkan angka penurunan yang ketara.

“Berdasarkan statistik, kes demam denggi lebih padan tahun ini rendah iaitu 46,938 kes berbanding 53,187 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Kita tidak pernah berhenti melakukan pemantauan, pencegahan dan rawatan denggi dengan kempen membanteras terus berjalan seperti biasa,” katanya pada sidang media hari ini.

Noor Hisham memberitahu, berdasarkan statistik, ia jelas menunjukkan petanda yang baik apabila kes denggi yang dilaporkan semakin menurun.

Tambahnya, usaha pencegahan kes denggi akan terus dijalankan dan sokongan awam sangat diperlukan.

“Kita menasihatkan orang awam menggunakan waktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat untuk membersihkan kediaman dan kawasan komuniti masing-masing sebagai mencegah kes denggi,” ujarnya. – MalaysiaGazette