Zainal Abidin Ahmad

KUALA LUMPUR – Perodua menyambut baik inisiatif kerajaan untuk memastikan kemampanan industri automotif ketika negara berdepan dengan situasi sukar pandemik Covid-19.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, sebagai pengeluar kenderaan terbesar di Malaysia dari segi jumlah, Perodua sedia bekerjasama dengan kerajaan untuk mengekalkan kemampanan industri dalam masa yang sukar ini.

Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) menganggarkan penurunan jualan kenderaan baharu
sebanyak 28% tahun ini akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan jumlah keseluruhan industri (TIV) minimum 500,000 unit diperlukan pada 2020 untuk menjamin kelangsungan perniagaan-perniagaan automotif.

Insentif-insentif yang disebutkan MARii untuk merangsang jualan kenderaan termasuk pengecualian sementara bayaran pendahuluan, pengurangan kadar faedah pinjaman dan subsidi bersama antara pengeluar kenderaan dan kerajaan
bagi cukai jalan dan insurans untuk jangka masa terhad.

“Sesungguhnya ini masa yang mencabar bagi semua. Namun Perodua yakin dengan kerjasama kerajaan, industri automotif bersama dengan ekosistem pembekal dan pengedar akan berjaya mengharungi masa sukar ini bersama,” katanya.

Perodua berjaya menjual 52,920 kenderaan dalam lima bulan pertama 2020, menguasai 41% pasaran berbanding TIV yang dianggarkan sebanyak 129,401 unit setakat tahun ini.

”Perodua juga memainkan peranannya untuk menyokong ekosistem pembekal dan pengedarnya. Selain komitmen jumlah, kami membantu dan menyokong mereka melalui pelaburan dan pembelian dahulu, jangka masa kredit yang lebih lama serta pelbagai inisiatif transformasi dan program pembangunan,” kata Zainal. – MalaysiaGazette