Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Langkah agresif dan tumpuan di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) menyebabkan penularan kes Covid-19 mencapai satu angka dan tiada peningkatan mendadak.

Perkara itu dijelaskan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sambil memberitahu, pendekatan yang sama
turut digunakan bagi mengawal penularan kes dalam kalangan warganegara dan bukan warganegara.

“Sejak sebelum ini lagi, PKD telah memainkan peranan yang amat penting dalam pelaksanaan pelbagai tindakan mencegah dan membendung jangkitan yang dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan.

“Salah satu tindakan penting yang telah mula dilaksanakan sejak permulaan gelombang Covid-19 adalah aktiviti siasatan dan pengesanan secara aktif bagi kes ini,” katanya pada sidang media media hari ini.

Menurut Noor Hisham lagi, peranan penyelarasan bagi semua aktiviti tersebut dimainkan oleh Bilik Gerakan Covid-19 di setiap daerah dan negeri.

Ini merupakan satu faktor utama yang telah menjayakan koordinasi pelbagai aktiviti yang berjalan serentak di seluruh negara, katanya.

Selain itu beliau berkata, PKD juga memastikan Klinik Kesihatan perlu terus bersiapsiaga untuk menjalankan saringan Covid-19 di kaunter yang telah dikenal pasti.

“Klinik Kesihatan tertentu di daerah masing-masing dipilih sebagai pusat pengambilan sampel dan juga sebagai Klinik Sentinel.

“Aktiviti survelan kes Covid-19 pula dijalankan melalui aktiviti
pengambilan sampel dengan kerjasama pelbagai pihak. Langkah ini memberi petunjuk kepada pihak kesihatan mengenai penduduk yang terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19.

“Menerusi aktiviti survelan juga, arahan pengasingan dan pembebasan, pemantauan kesihatan bagi kes-kes kuarantin di rumah dan di pusat kuarantin turut dikeluarkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette