Sri Sanjeevan Ramakrishnan

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pertubuhan Malaysian Crime Watch (MyWatch), Datuk Seri Sanjeevan Ramakrishnan akan dihadapkan ke mahkamah esok.

Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman berkata, pertuduhan terhadap Sanjeevan akan dibuat di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta sekitar jam 9 pagi.

“Dia akan dituduh di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 melibatkan dua kes berita tidak benar,” kata kenyataan ringkas Bukit Aman hari ini.

Malahan Sanjeevan akan didakwa atas dua kesalahan memuat naik status hantaran dan komen tidak benar mengenai Polis Diraja Malaysia di dalam dua akaun yang dikendalikannya di dalam Twitter.

Pertuduhan pertama ialah status posting beliau dalam akaun twitter disyaki di bawah pengendalian beliau iaitu @My_CrimeWatch yang tidak benar mengenai PDRM.

Sanjeevan juga akan dituduh atas kesalahan mengeluarkan berita tidak benar mengenai PDRM dalam posting akaun twitter peribadinya atas nama beliau @SanjeevanSS.

Pegawai penyiasat yang mengendalikan kes dan pertuduhan itu adalah Asisten Superintendan Mohd Khairul Ridzuan Khiruddin.- MalaysiaGazette