Majikan tidak dibenarkan memaksa pekerja menjalani kuarantin selama 14 hari dalam masa yang sama menolak cuti atau gaji mereka selepas berlaku rentas negeri atas urusan kerja atau peribadi yang dibenarkan pihak berkuasa.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Majikan tidak dibenarkan memaksa pekerja menjalani kuarantin selama 14 hari dalam masa yang sama menolak cuti atau gaji mereka selepas berlaku rentas negeri atas urusan kerja atau peribadi yang dibenarkan pihak berkuasa.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, tindakan tersebut salah malah majikan itu berisiko dikenakan tindakan oleh Kementerian Sumber Manusia sekiranya didapati bersalah.

“Tetapi di Semenanjung, rentas negeri kita tidak benarkan termasuk rentas daerah. Walaupun kita tidak benarkan tetapi bagi yang mendapat kebenaran daripada polis untuk merentas negeri tidak diwajibkan membuat kuarantin 14 hari. Tidak ada.

“Ini hanyalah majikan tersebut yang mengarahkan 14 hari tersebut tanpa mengikut peraturan yang disediakan MKN (Majlis Keselamatan Negara). Mereka pandai-pandai buat sendiri.

“Jadi adalah salah oleh kerana mereka paksa pekerja mereka kuarantin 14 hari dikira sebagai cuti tanpa gaji. Itu salah kerana tidak mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh MKN,” katanya ketika sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan sebanyak 111 kenderaan telah diarahkan untuk patah balik atas cubaan rentas negeri tanpa kebenaran setakat ini.

Kedah adalah negeri tertinggi kes diarahkan berpatah balik iaitu 63 kes diikuti Selangor sebanyak 25 kes manakala Melaka pula 14 kes.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) telah mengenakan 140 Sekatan Jalan Raya (SJR) sempadan negeri di seluruh negara dan memeriksa sebanyak 290,432 kenderaan berbanding 267,373 kenderaan pada 3 Jun,” katanya lagi.

Seramai 31 individu pula ditahan atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Daripada jumlah itu seramai 26 individu direman manakala lima individu dijamin polis. PDRM turut mengeluarkan kompaun kepada 93 individu atas pelbagai kesalahan ingkar PKPB. Tiada kompaun atas kesalahan ziarah Aidilfitri,” tambah beliau.-MalaysiaGazette