Telekom Malaysia Bhd (TM) muncul kaunter ketiga paling rugi di Bursa Malaysia pagi ini berikutan laporan media bahawa harga perkhidmatan jalur lebar Malaysia dijangka susut sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang akhir tahun ini.
Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijangka berakhir pada 9 Jun 2020, Telekom Malaysia Berhad (TM) akan melanjutkan penawaran eksklusif #sTayhoMe kepada para pelanggannya selepas tempoh itu.

Bermula 10 Jun 2020 sehingga 31 Ogos 2020, semua pelanggan sedia ada unifi Mobile, iaitu pelanggan pasca bayar dan prabayar #BEBAS akan ditawarkan dengan 1GB LTE percuma setiap hari untuk digunakan dari jam 8 pagi hingga 6petang setiap hari.

Kuota LTE percuma harian ini akan digunakan terlebih dahulu sebelum kuota sedia ada yang dilanggani digunapakai.

Ketua Pegawai Komersil TM, Anand Vijayan berkata, dengan data 1GB LTE percuma ini, pelanggan unifi Mobile boleh menggunakannya untuk peralatan produktiviti dalam talian, mendapatkan perkembangan berita terkini, pembelajaran dan pendidikan dalam talian atau melayari internet secara umum untuk mendapatkan maklumat.

“Dalam kami kekal komited terhadap keselamatan dan kesihatan pelanggan-pelanggan kami, mereka boleh melayari portal StayAlert.my – sumber maklumat sahih sehenti yang boleh diakses secara percuma tanpa sebarang caj yang dibangunkan oleh TM untuk membantu rakyat Malaysia kekal bermaklumat dengan berita terkini dan perkembangan terbaharu COVID-19,” katanya.

Penawaran ini juga termasuk akses secara percuma tanpa sebarang caj kepada aplikasi mudah alih berkaitan Covid-19 iaitu Gerak Malaysia, MySejahtera dan MyTrace serta laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); dan panggilan percuma tanpa had ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis
(CPRC) KKM.

Sementara itu, penawaran unifi sedia ada untuk tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diteruskan sehingga 9 Jun dan akan disejajarkan dengan sebarang lanjutan tempoh perintah tersebut, sekiranya diumumkan. – MalaysiaGazette