Bapa dan ibu tiri kanak-kanak yang meninggal dunia dysyaki didera telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kulim untuk disambung reman sehingga 9 Jun ini untuk tindakan lanjut.

KUALA LUMPUR – Kamatian seorang kanak-kanak berusia 3 tahun yang didakwa tidak sedar diri akibat jatuh dari katil akhirnya terbongkar apabila bedah siasat yang dilakukan mendapati terdapat kesan lebam seluruh badan mangsa yang disyaki menjadi mangsa dera.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusuf Shaari berkata, kejadian berlaku pada 30 Mei lalu dan pada kira-kira pukul 9.46 pagi pengadu lelaki yang merupakan bapa kandung mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Padang Serai.

“Pengadu mendakwa semasa berada di rumah jam lebih kurang 6.40 pagi, semasa bangun untuk menukar lampin anak berusia 3 tahun dapati anaknya tak sedarkan diri.

“Pengadu segera membawa anaknya ke Hospital Padang Serai sebelum merujuk ke Hospital Kulim tanpa melengahkan masa, bagaimanapun doktor yang memeriksa mangsa mengesahkan si kecil itu telah meninggal dunia.

“Maklumat awal yang diperolehi polis daripada aduan pengadu adalah mendapati anaknya jatuh dari katil dan tak sedar diri sebelum polis meneruskan siasatan dibawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Yusuf, mayat mangsa telah dibedah siasat di Hospital Sultanah Bahaiyah Alor Setar dan hasil siasatan lanjut polis setelah bedah siasat yang dilakukan pada 31 Mei lalu terdapat kesan kecederaan di bahagian belakang dan tepi kepala.

Selain itu terdapat kesan lebam pada bahagian belakang telinga, lebam pada bahagian belakang badan, lebam bahagian mukut dan bibir, dan lebam pada bahagian dahi kanak-kanak itu, katanya.

Mohd Yusof berkata, kecederaan yang dialami mangsa boleh terhasil oleh daya daripada objek tumpul pada bahagian kepala, sama ada terhentak pada permukaan keras atau dihentak dengan apa-apa objek tumpul yang keras.

“Corak kecederaan pada bahagian kepala si mati adalah tidak berpadanan dengan kecederaan akibat jatuh dari tempat yang sederhana tinggi.

“Susulan bedah siasat itu, tangkapan dilakukan ke atas satu lelaki dan satu perempuan umur antara  35 dan 34 tahun untuk siasatan lanjut polis di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh.

“Kedua-dua suspek suami isteri itu telah direman sehingga 4 Jun semalam dan disambung reman sehingga 9 Jun ini dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati,” ujarnya.

Katanya, bapa mangsa bekerja sebagai pekerja kilang di Pulau Pinang.

“Si mati merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dan dia di bawah jagaan suspek bersama ibu tiri sejak kedua dua pasangan itu melangsungkan perkahwinan pada 2018, manakala dua kagi anaknya berusia 9 dan 6 tahun tinggal di bawah jagaan ibu saudaranya sejak isteri pertama meninggal dunia 2018,” tegas beliau. – MalaysiaGazette