Tiada kes baharu Covid-19 membabitkan kluster perhimpunan Masjid Seri Petaling.

PUTRAJAYA – Sebanyak 41,606 sampel ujian Covid-19 membabitkan kluster perhimpunan Masjid Seri Petaling, di ibu negara telah diambil oleh pasukan petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 3,373 kes dilaporkan positif.

“Kes yang masih aktif ada sebanyak 174 manakala 3,166 lagi adalah kes pulih. Kluster itu turut merekodkan 33 kes kematian.

“Setakat ini, tiada pertambahan kes baharu di Masjid Seri Petaling yang membabitkan lima generasi,” katanya dalam sidang media harian Covid-19, di kementeriannya di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisham mengingatkan orang ramai mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan kendiri yang tinggi bagi mengawal penularan Covid-19, terutama ketika pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi dan sosial.

Katanya, amalan itu wajar dipraktikkan dengan lebih kerap dan diterapkan dalam semua kumpulan umur.

Pada masa sama, kata beliau, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan pembukaan sektor itu dilaksanakan secara terkawal mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Peralihan ke arah budaya hidup, kelaziman dan norma baharu ini adalah sesuatu yang positif demi keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.

“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam dan luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” ujarnya. – MalaysaiGazette