White House. foto Agensi

WASHINGTON – White House menggesa Beijing menghormati hak asasi manusia serta memenuhi komitmennya terhadap Hong Kong dan mengakhiri penghapusan etnik dan penganut agama minoriti.

“Tindakan Parti Komunis China yang membunuh rakyat biasa yang tidak bersenjata adalah satu tragedi yang tidak akan dilupakan,” kata White House dalam satu kenyataan bersempena ulang tahun memperingati peristiwa Dataran Tiananmen .

Ia menggesa kerajaan China memenuhi komitmen di bawah Deklarasi Universal Hak Asasi Kemanusiaan dan Deklarasi Bersama Sino-British berhubung status pentadbiran Hong Kong, lapor Reuters.

White House juga menggesa ekonomi kedua terbesar dunia itu menjunjung hak asasi dan menjamin hak kebebasan semua rakyat China di bawah perlembagaan serta menamatkan pembunuhan sistematik jutaan etnik dan penganut agama minoriti.

Ulang tahun tragedi yang berlaku ke atas aktivis pro-demokrasi pada 1989 itu kebetulan serentak dengan protes menentang rasisme yang dijalankan di seluruh Amerika Syarikat susulan tindakan ganas polis sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki kulit hitam.

Presiden Donald Trump mengancam untuk menggunakan kekuatan tentera bagi menghentikan demonstrasi tersebut.

“Rakyat Amerika berdiri teguh bersama rakyat China dalam memperjuangkan hak asasi termasuk urus tadbir bertanggung jawab, kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun dan pegangan agama,” kata White House. – Agensi