Penjana harapan rakyat dalam menangani pengangguran di negara ini.

PENGUMUMAN peruntukan sebanyak RM9 bilion bagi menangani cabaran pengangguran yang meningkat dan pengekalan pekerjaan susulan Covid-19 pastinya melegakan golongan pekerja yang semakin bimbang tentang masa depan masing-masing. Inisiatif melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) ini dilaporkan bakal memberi manfaat kepada kira-kira 3 juta tenaga kerja melalui beberapa inisiatiaf. Sudah tentu antara inisiatif yang menarik perhatian semua ialah insentif yang disediakan kepada majikan supaya mengekalkan pekerja serta pengambilan pekerja baharu.

Hakikatnya ramai yang sudah hilang pekerjaan sejak tercetusnya serangan wabak Covid-19, malah ramai juga yang bimbang mengenangkan nasib umpama telur di hujung tanduk iaitu tunggu masa sahaja untuk dibuang kerja dalam tempoh terdekat
ini. Dalam hal ini, agak sukar untuk kita menyalahkan golongan majikan semata-mata kerana mereka menerima kesan langsung serangan wabak ini. Operasi perusahaan terpaksa ditutup lama, prestasi perniagaan dan ekonomi juga tidak menentu, akibatnya mereka terpaksa memikirkan langkah untuk mengurangkan kosĀ operasi dari terus menanggung pelbagai kerugian. Jangan lupa ramai juga yang tidak dapat bertahan dan terpaksa gulung tikar sepenuhnya.

Jadi penyediaan insentif dari kerajaan ini pastinya memberikan harapan baharu kepada golongan pekerja. Suntikan insentif tambahan berjumlah RM5 bilion untuk Program Subsidi Upah adalah sesuatu yang sangat tepat pada masanya. Hal ini
kerana pelaksanaan program tersebut selama tiga bulan sebelum ini melalui Pakej Prihatin dan Prihatin PKS Tambahan ternyata disambut baik oleh majikan dan pekerja sekali gus membuahkan hasil yang baik iaitu, berjaya menyelamatkan lebih 2.2 juta pekerjaan. Justeru pelanjutan pemberian subsidi upah ini untuk tempoh selama tiga bulan lagi sangat dialu-alukan kerana boleh menyelamatkan lebih banyak lagi pekerjaan.

Maka dalam konteks ini majikan perlu melaksanakan tanggungjawab sosial mereka kepada kerajaan dan juga rakyat dengan sebaik mungkin. Antara tindakan yang diharap dari pihak majikan ialah, pastikan tidak ada lagi pemberhentian pekerja.
Gunakan insentif subsidi upah ini untuk menampung kerugian yang berlaku akibat ketidaktentuan peluang perniagaan tatkala kita berada dalam tempoh peralihan pembukaan semula ekonomi. Jangan guna lagi sebarang alasan untuk membuang pekerja sebaliknya bantulah kerajaan menyelamatkan periuk nasi rakyat dengan membenarkan mereka terus bekerja untuk survival kehidupan masing-masing.

Satu lagi inisiatif untuk mengatasi pengangguran yang diumumkan ialah, Program Insentif Pengambilan Pekerja berjumlah RM1.5 bilion. Melalui program ini, majikan
atau syarikat akan menerima insentif kewangan untuk memberi pekerjaan kepada golongan penganggur dan belia. Insentif ini terbahagi kepada dua iaitu, insentif RM800 sebulan bagi setiap pekerja sekiranya menggaji penganggur berumur di bawah 40 tahun dan RM1,000 sebulan selama enam bulan sekiranya menggaji penganggur berumur 40 tahun dan ke atas dan golongan orang kelainan upaya (OKU). Dianggarkan 300 ribu pencari kerja akan mendapat manfaat melalui insentif
itu.

Jadi sekali lagi kita menuntut kerjasama para majikan agar menggunapakai insentif ini sebaik mungkin dengan membuka peluang pekerjaan kepada kumpulan sasaran yang telah ditetapkan. Jangan lupa ramai yang telah diberhentikan kerja sebelum ini dan sedang menganggur di samping pencari pekerja baharu termasuk OKU yang sedang menantikan peluang pekerjaan, maka bukalah seluas-luasnya pintu kepada
mereka untuk memperoleh pekerjaan, sekali gus akan membantu mengurangkan kadar pengangguran.

Pada masa yang sama kita juga berharap agar majikan turut mengambil peluang ini untuk mengurangkan pengambilan dan penggunaan pekerja asing sebaliknya bantulah rakyat tempatan yang menganggur untuk mendapatkan pekerjaan bagi
memenuhi keperluan diri dan keluarga. Jika golongan belia dan graduan didapati kurang kemahiran yang diperlukan, gunakanlah insentif RM600 sebulan yang disediakan oleh kerajaan dengan menyediakan peluang perantis. Melalui ini, golongan muda bukan saja dapat peluang pekerjaan tetapi turut boleh menambah
pengalaman dan kemahiran diri masing-masing.

Dalam konteks ini, kita juga berharap agar golongan belia terutamanya graduan baharu akan merebut peluang yang kerajaan sediakan ini. Ingat, ini bukan masa untuk kita memilih pekerjaan. Tatkala ekonomi sangat tidak menentu dan peluang
pekerjaan sangat terhad, rebutlah apa saja peluang yang ada di depan mata. Dapatkan sebanyak mungkin kemahiran dan pengalaman sebelum memperoleh peluang pekerjaan yang lebih baik mengikut kelayakan masing-masing.

Tuntasnya semua pihak perlu memandang serius senario di mana kadar pengangguran pada tahun ini dijangka akan meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih 860,000 penganggur mengikut perangkaan Jabatan Perangkaan Malaysia. Justeru, besarlah harapan kita agar inisiatif berterusan pihak kerajaan serta
komitmen dan kerjasama penuh para majikan mampu mengurangkan kadar pengangguran, sekali gus membantu rakyat untuk terus bekerja demi kelangsungan survival kehidupan masing-masing.

Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia