Trak Imigresen membawa pendatang asing tanpa izin dari Flat Sri Murni ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang. foto FAREEZ FADZIL, 11 MEI 2020

PUTRJAYA – Kementerian Kesihatan menjangkakan tiada lagi peningkatan kes mendadak diempat Depoh Tahanan Imigresen (DTI) selepas ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia berikutan saringan yang sudah dilaksana di semua tempat termasuk saringan kedua, di DTI Bukit Jalil.

“Kita dah jangkakan tiada peningkatan mendadak kerana semua saringan sudah dilaksana.

“Kita juga sudah nasihat imigresen untuk bawa kes (individu) negatif (Covid-19) pulang ke negara masing-masing,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya, hari ini.

Beliau berkata, bagi DTI Bukit Jalil, sebanyak 1,545 individu sudah disaring dan seramai 608 daripada mereka, terdiri daripada bukan warganegara, didapati positif Covid-19.

Manakala 935 lagi adalah negatif dan dua masih menunggu keputusan saringan kedua, katanya.

Tambah beliau, seramai 1,785 individu di DTI Semenyih sudah disaring dan seramai 65 disahkan positif manakala 1,719 adalah negatif.

“Di DTI Sepang, seramai 1,477 sudah disaring dan sebanyak 60 kes positif dikesan manakala 1,417 adalah negatif dan di Depoh Tahanan Sementara Imigresen Putrajaya, seramai 101 individu disaring dan dua daripada mereka didapati positif manakala 99 adalah negatif.

“Kes positif kita sudah asingkan dan dan dimasukkan ke hospital untuk dirawat,” ujarnya.

Sementara itu, Noor Hisham menjelaskan sukar untuk mengesahkan punca kes kematian 117 individu setakat ini, sama ada mempunyai kaitan dengan Covid-19 atau komplikasi daripada virus berkenaan.

Katanya, terdapat individu yang meninggal dunia disebabkan serangan virus berkenaan ke jantung.

“Contohnya, pesakit positif Covid-19, tetapi virus sudah sampai ke jantung menyebabkan pembekuan darah di jantung dan menyebabkan mati sebagai sakit jantung.

“Persoalannya sekarang ini, mati sakit jantung atau sakit disebabkan Covid-19. Mati sebab sakit, kita ada kerumitan untuk lihat punca kematiannya,” katanya. – MalaysiaGazette