Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Lebih banyak sektor akan dibuka dalam masa terdekat dan diperluaskan termasuk aktiviti sosial serta sukan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu diputuskan selepas trend jangkitan Covid-19 dalam warga negara berkurangan biarpun kelonggaran diberi sebelum ini untuk keseluruhan sektor ekonomi dibuka ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, pengenalan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang PKPB turut membantu menurunkan kes jangkitan kepada satu angka.

“Dalam seminggu lagi (kes mungkin) kekal satu angka tapi kita kena pastikan tahap kepatuhan rakyat.

“Tindakan juga sudah diambil, kita sudah ada jawatankuasa untuk melihat kepatuhan dalam kalangan warga asing. Mereka juga kena patuh SOP yang digunakan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya di sini, hari ini.

Katanya, tahap pematuhan SOP dalam kalangan warga asing amat penting dan menjadi keutamaan pemantauan agensi penguat kuasa ketika ini bagi menghentikan penularan jangkitan di negara ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisham memberitahu, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan terus digunakan bagi memantau pematuhan rakyat terhadap SOP pencegahan pandemik Covid-19.

Ujarnya, akta itu juga digunakan sebagai pengawasan apabila lebih banyak sektor ekonomi dibuka selepas 10 Jun ini.

“Akta 342 bagi kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit akan terus diguna pakai sebagai pemantauan dan pengawasan apabila lebih banyak sektor dibuka.

“Jika ada wabak atau peningkatan kes di sesuatu lokaliti atau kumpulan sasar kita akan laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast