Reaksi penduduk selepas kawasan kediaman mereka dipasang kawat besi berikutan Perintah Kawalan secara Pentadbiran bagi mencegah penularan wabak Covid-19 di Taman Langat Murni, Kuala Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 03 JUN 2020.

PUTRAJAYA – Orang ramai dinasihatkan agar mengikuti saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menggalakkan pemakaian pelitup muka atau penutup hidung dan mulut di kawasan umum, terutama sekali di kawasan yang sempit dan sesak.

Langkah itu perlu diikuti oleh individu terutama mereka yang bergejala selain mengelak daripada keluar rumah, kecuali untuk
urusan-urusan penting dan bagi mendapatkan rawatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Sekiranya mereka perlu juga keluar daripada rumah, mereka perlu menggunaan penutup hidung dan mulut bagi mengelakkan virus tersebar kepada masyarakat umum.

“Seterusnya, pihak WHO juga menasihatkan pemakaian penutup
hidung dan mulut oleh anggota kesihatan di fasiliti kesihatan.

“KKM juga menasihatkan anggota kesihatan untuk turut memakai
peralatan kelengkapan diri (PPE) yang bersesuaian apabila
bertugas di fasiliti Kesihatan terutama apabila menjalankan
prosedur terhadap warga emas di tempat yang mempunyai penularan jangkitan komuniti dan orang awam di tempat yang mempunyai penularan jangkitan komuniti,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Secara prinsip menurut Noor Hisham, pemakaian penutup hidung dan mulut perlu diutamakan bagi petugas kesihatan dan juga masyarakat umum yang bergejala.

Ini kerana katanya, penularan penyakit Covid-19 adalah
disebabkan oleh titisan cecair pernafasan (respiratory droplet)
dalam kalangan komuniti.

“Orang awam pula digalakkan memakai penutup hidung apabila berada di kawasan yang sesak dan sempit.

“Ini memandangkan di tempat yang sesak, adalah sukar bagi individu untuk mengamalkan penjarakan sosial (social distancing) sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, WHO juga menekankan bahawa pemakaian penutup hidung dan mulut sahaja tidak mencukupi untuk membendung penularan jangkitan Covid-19.

Turut diingat bahawa penjarakan sosial, amalan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta lain-lain langkah kesihatan awam patut diterapkan dalam kehidupan seharian.

“Ini merupakan amalan paling utama yang perlu dilaksanakan oleh semua lapisan masyarakat dalam memerangi Covid-19,” tambahnya. – MalaysiaGazette