AirAsia
AirAsia

KUALA LUMPUR – Tindakan syarikat penerbangan AirAsia dan AirAsia X memberhentikanĀ  pekerja termasuk juruterbang, anak kapal dan pekerja kejuruteraan secara tiba-tiba minggu lalu didakwa mengejutkan kakitangan.

Ini kerana, pada minggu sebelumnya, dalam satu Town Hall, para pekerja dimaklumkan tidak ada sebarang perubahan yang berlaku dalam operasi AirAsia dan AirAsia X.

Malah, pengurusan tertinggi AirAsia berjanji, walaupun AirAsia berdepan cabaran getir, tiada seorang pun kakitangan akan kehilangan pekerjaan.

Ia disebabkan semua kakitangan bersetuju dengan keputusan syarikat untuk mengurangan gaji sementara antara 15 hingga 75% bergantung jawatan masing-masing.

Kakitangan pula menerima keputusan yang dibuat syarikat atas dasar kebersamaan – umpama berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Namun, tidak sampai seminggu tiba-tiba para pekerja syarikat penerbangan tambang murah itu dikejutkan tentang pembuangan pekerja.

MalaysiaGazette dimaklumkan lebih memeranjatkan apabila pembuangan pekerja AirAsia dan AirAsia X didahului dengan juruterbang, anak kapal dan pekerja kejuruteraan.

Pemberhentian kakitangan ini termasuk tenaga pengajar juruterbang dan anak-anak kapal yang bersama-sama AirAsia pada hari pertama operasinya.

Lebih sadis lagi, majoriti yang dibuang adalah pekerja tempatan yang bukan pun bergaji besar.

Tindakan pemberhentian kerja oleh syarikat ini sudah tentu sukar diterima, apabila diketahui ada anak kapal dalam kalangan warga asing ‘masih disimpan’.

Difahamkan AirAsia dan AirAsia X mempunyai bilangan pekerja warga asing yang tidak kurang banyaknya.

Mereka termasuk warga kerja Indonesia, Filipina, India, Korea Selatan dan Jepun yang bekerja sebagai anak kapal dan di dalam bahagian lain.

Rata-rata kakitangan yang kecewa menyifatkan keputusan syarikat penerbangan ini seperti ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’.

Ekoran situasi ini, ramai kakitangan tertanya-tanya mengapa pemberhentian kerja tidak membabitkan pengurusan tertinggi yang bergaji tinggi berbanding gaji pokok anak kapal yang rata-rata sebanyak RM1,500.

Semasa berita ini ditulis, MalaysiaGazette dimaklumkan jumlah sebenar kakitangan yang bakal kehilangan pekerja belum dipastikan lagi meskipun baru-baru ini media melaporkan pemberhentian itu membabitkan 300 pekerja.

Mereka yang tidak bernasib baik dijangka ketahui nasib mereka pada Isnin ini.

Terma dan syarat pemberhentian kerja juga masih kabur – namun yang pasti sehingga berita ini ditulis – AirAsia dan AirAsia X tidak menawarkan skim pemberhentian sukarela (VSS) dan pemberhentian kerja mandatori (MSS).

Kebanyakan pekerja kini tidak mampu berbuat apa-apa memandangkan mereka tidak mempunyai kesatuan pekerja untuk mengadu keluh-kesah.

Apa yang dapat dilakukan sekarang hanyalah berdoa, semoga ada keajaiban yang berlaku – atau mungkin moto AirAsia ‘All For One, One For All’ yang dilaung-laungkan dalam kalangan pekerja terpakai dalam saat-saat genting ini. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Pekerja Air Asia terutama steward & stewardest ni ketwat…ammmboiii lagak mengalahkan artis! tp bodoh tak de Persatuan…artis pun ada persatuan…pekerja MAS pun ada persatuan…skrg ni pi jilat Tony Fernandes yg ko dewa2kan selama ni…muka jer lawa…otak tak da

Comments are closed.