Dr. Najmil Faiz

KUALA LUMPUR – Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) tidak lagi relevan untuk menghukum pemandu mabuk yang sudah melampau dan hampir setiap hari meragut nyawa insan tidak bersalah.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Mohamed Aris berkata, Malaysia sepatutnya menjadi negara contoh yang meminda hukuman yang lebih berat ke atas pemandu mabuk.

Tegas beliau yang Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu, langkah utama untuk mengatasi masalah ini adalah melalui hukuman yang berat 20 tahun penjara untuk memberi pengajaran.

“Apabila undang-undang yang berat dilaksanakan, masyarakat akan takut untuk melakukannya. Sama seperti jenayah melibatkan dadah. Masyarakat takut untuk terlibat dengannya kerana memperuntukkan hukuman mati.

“Rata-rata negara di Asia Tenggara juga masih mempunyai undang-undang yang lemah berkenaan pemandu mabuk. Di Singapura memperuntukkan hukuman denda sebanyak $10,000 atau penjara maksimum setahun dan begitu juga negara jiran lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Najmil menambah, kerajaan perlu bertindak segera dan mempunyai pendirian yang tegas berkenaan soal ini dan jangan angan tunduk dengan desakan mana-mana pihak.

“Nyawa insan tidak bersalah diragut oleh pemandu mabuk setiap hari.

“Saya juga ingin merakamkan takziah kepada seluruh keluarga korban insiden ini. Semoga roh mereka diberkati Allah dan sama-samalah kita berdoa agar keadilan akan ditegakkan,” katanya. – MalaysiaGazette