Penduduk, Malik Mizan, 61 ditemani isterinya, Halijah Abd Aziz, 59 serta ahli keluarganya yang lain mengikuti Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ukay Bistari, Selangor foto AFFAN FAUZI, 07 JUN 2020

KUALA LUMPUR- Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula Rabu ini sehingga 31 Ogos – lebih banyak aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan oleh kerajaan.

Ia dibenarkan selepas lebih tiga bulan rakyat terpaksa mengehadkan pergerakan masing-masing bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan tegas mengingatkan semua pihak supaya terus mengamalkan langkah pencegahan dan norma kehidupan baharu agar wabak tersebut tidak menular semula.

“Jika saudara dan saudari semua terus berdisiplin dan beristiqamah, saya percaya insyaAllah penularan wabak ini akan kekal terkawal dan kita akan memasuki fasa normalisasi selepas 31 Ogos 2020 sehinggalah vaksin untuk virus Covid-19 ditemui.

“Namun, saya ingin mengingatkan sekiranya berlaku peningkatan mendadak kes positif Covid-19 dalam tempoh ini, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD di kawasan atau lokaliti yang berkenaan.

“Saya harap kita semua sentiasa berdisiplin supaya peningkatan kes COVID 19 dapat kita elakkan,” tegasnya ketika menyampaikan perutusan khas hari ini.

Antara yang dibenarkan di bawah PKPP adalah pergerakan rentas negeri dan sambutan perayaan Hari Raya Aidil Adha dan ibadah korban.

Selain itu, menurut Muhyiddin, aktiviti komersial yang melibatkan urus niaga bukan dalam premis perniagaan juga dibenarkan antaranya lawatan ke muzium, indoor busking, dobi layan diri, aktiviti perikanan dan reakreasi termasuk kolam pancing komersial dan penggambaran filem.

Mesyuarat dan bengkel juga dibenarkan tetapi perlu mematuhi protokol kesihatan sepenuhnya dan mengoptimumkan ruang.

Bagi menjana aktiviti ekonomi domestik dan kebenaran rentas negeri, sektor pelancongan domestik dibenarkan beroperasi, kata Muhyiddin.

“Jadi, saudara-saudari bolehlah membawa keluarga untuk melancong di dalam negeri dengan mengamalkan kebiasaan baharu atau new normal setelah hampir 3 bulan tidak ke mana-mana. Bagi yang berhasrat untuk melancong ke luar negara, tunggu dulu kerana sempadan negara kita masih ditutup,” katanya.

Sekolah-sekolah pula menurut Perdana Menteri akan dibuka secara berperingkat sepanjang tempoh PKPP setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Jelasnya, Kementerian Pendidikan akan membuat pengumuman terperinci tidak lama lagi.

“Sejak PKP dilaksanakan hampir tiga bulan yang lalu, kerajaan telah melaksanakan pelbagai strategi dan langkah yang wajar dalam menangani dan membendung wabak Covid-19.

“Banyak kawalan dan sekatan yang dikenakan ke atas saudara dan saudari sekalian. Itu tak boleh, ini tak boleh dan sebagainya.

“Namun, saya sedar kerajaan tidak boleh mengawal kehidupan saudara-saudari buat selama-lamanya untuk menghindari jangkitan wabak ini.

“Saya tahu saudara-saudari juga mahu menjalani kehidupan seperti biasa. Saudara-saudari ingin keluar bekerja, berniaga, beriadah, melancong bersama keluarga dan melakukan aktiviti-aktiviti lain dalam kehidupan seharian,” katanya lagi.- MalaysiaGazette