Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan sedang menyiasat kes seorang bayi berusia lapan bulan yang disahkan menghidap wabak Covid-19 di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas, Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes bayi itu adalah antara tujuh kes positif terbaharu yang dilaporkan negara hari ini.

“Kita memang hari ini ada satu kes saringan sebelum pembedahan di HWKKS iaitu melibatkan seorang kanak kanak perempuan berumur 8 bulan telah bergejala dan menjalankan pembedahan, jadi ini kes direkodkan.

“Bagaimanapun kita sedang melakukan siasatan terperinci apakah punca mengakibatkan bayi itu dijangkiti Covid-19,’ katanya dalam sidang media perkembangan terkini pandemiki Covid-19 di sini.

Menurut Dr Noor Hisham, siasatan turut diperluaskan terhadap ahli keluarga termasuk ibu bapa bayi itu.

“Langkah segera yang kita laksanakan sekarang ialah melakukan saringan kepada ahli keluarga dan bagaimana jangkitan boleh berlaku, perkara itu masih lagi dalam progres,” ujar beliau.

Beliau turut diminta mengulas mengenai satu kes kluster baharu di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil.

Mengulas mengenai kes baharu itu, kata beliau, kluster baharu yang dikesan di depoh berkenaan adalah seorang warganegara tempatan iaitu kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) iaitu seorang pegawai imigresen bantuan.

“Kakitangan JIM itu tidak mengalami gejala dipercayai terdedah kepada pesakit, bagaimanapun dia telah diasingkan segera dan menerima rawatan yang sepatutnya kini sedang menerima rawatan dan diasingkan,” tegas beliau.-MalaysiaGazette