Prevalens A701V dalam kalangan kes gelombang ketiga ialah 86 peratus manakala D614G ialah 100 peratus.- Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Malaysia mencatatkan kes baharu positif Covid-19 terendah setakat ini iaitu hanya tujuh kes dan tiada kematian direkodkan sehingga pukul 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kes positif Covid-19 setakat ini adalah sebanyak 8,329 kes.

Katanya, hari ini terdapat 20 kes telah pulih dan dibenarkan discaj sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 6,694 kes (80.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Sehingga 8 Jun 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat tujuh kes baharu yang telah dilaporkan. Ini merupakan jumlah kes terendah yang pernah dicatatkan setakat ini.

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,329 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,518 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam sidang media perkembangan jangkitan semasa pandemik itu di sini.

Dalam pada itu beliau juga memaklumkan daripada tujuh kes baharu yang dilaporkan, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala lima kes penularan di dalam negara pula adalah di kalangan warganegara Malaysia.

“Perincian bagi lima kes penularan dalam negara di kalangan warganegara adalah dua kes kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-8294) di Sepang, Selangor;

“Satu kes saringan tempat kerja dari Kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas, Sabah; Satu (1) kes saringan komuniti di Kota Kinabalu, Sabah.

“Sehingga kini, sebanyak enam (6) kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, satu (1) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah kekal sebanyak 117 kes (1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.