Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Tiga pengarah syarikat direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung perolehan kontrak promosi pengiklanan kelolaan sebuah agensi kerajaan bernilai lebih RM90 juta pada tahun 2019.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, kesemua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi untuk mendapatkan perintah reman.

“Ketiga-tiga pengarah syarikat itu berusia antara 31 hingga 48 tahun dan mereka telah ditahan lewat petang semalam di Ibu Pejabat SPRM.

“SPRM juga telah mengenalpasti pegawai agensi yang terlibat dan dijangka membuat beberapa siri tangkapan yang melibatkan individu yang bersekongkol dengan ketiga-tiga pengarah syarikat ini,” kata beliau dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya sumber SPRM, mendedahkan syarikat berkenaan telah mengemukakan dokumen dan maklumat palsu untuk memasuki tender sehingga ditawarkan kerja-kerja tersebut.

Katanya, syarikat terbabit juga dikatakan tidak memiliki kelayakan serta gagal melepasi penilaian teknikal dan kewangan.

“Walau bagaimanapun disebabkan bayaran suapan rasuah kepada orang dalam maka semua syarat asas diketepikan bagi membolehkan kontrak tersebut diberikan kepada syarikat terbabit.

“Siasatan telah dimulakan ke atas mereka di bawah seksyen 17 (a) dan seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Ketiga-tiga pengarah syarikat telah dihadapkan ke Majistret Putrajaya pagi tadi dan berjaya direman empat hari bermula 11 Jun 2020 hingga Ahad ini di bawah Seksyen 117, Kanun Acara Jenayah untuk disiasat lebih lanjut bagi melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut berlunaskan undang-undang,” tegasnya.-MalaysiaGazette