Semua masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan akan dibuka bagi Solat Jumaat dan solat berjemaah mulai 12 Jun ini.- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan akan dibuka bagi Solat Jumaat dan solat berjemaah mulai 12 Jun ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, kebenaran itu diberikan melihat kepada peluasan kapasiti masjid untuk jemaah.

“Semua masjid, surau Jumaat dan surau dalam Zon Hijau di Wilayah Persekutuan akan dibuka bagi Solat Jumaat dan solat
berjemaah dengan perluasan bilangan 1/3 daripada jumlah had kapasiti bagi dewan solat utama.

“Ini bermula dengan Solat Jumaat pada 12 Jun 2020
bersamaan 20 Syawal 1441 Hijrah. Sebagai contoh, jika sebuah dewan solat mampu memuatkan 1,000 orang jemaah pada satu-satu masa, maka bilangan yang dibenarkan adalah 333 orang buat masa ini,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Kelulusan itu kata Dr Zulkifli telah ditetapkan melalui Garis Panduan Perluasan Kapasiti Solat Jumaat dan Solat Berjemaah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wilayah Persekutuan.

Malah ia turut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Sebagai contoh, jika sebuah dewan solat mampu memuatkan 3,000 orang jemaah pada satu-satu masa, maka bilangan yang dibenarkan adalah 1,000 orang buat masa ini.

“Jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat dan surau boleh melantik sukarelawan dalam kalangan jemaah bagi membantu kawalan sebelum dan selepas solat,” katanya.

Turut dilaksanakan adalah sistem sistem penggiliran bagi memberi peluang kepada anak kariah lain untuk hadir.

Kapasiti ini, katanya lagi, akan ditambah secara berperingkat dengan makluman dari semasa ke semasa atas nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain jemaah lelaki, jemaah wanita juga dibenarkan kembali menunaikan solat jemaah di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.

“Saya maklum jauh di sudut hati wanita-wanita di luar sana, teringin untuk kembali beribadah di rumah Allah SWT. Berita gembira buat semua Muslimah di Wilayah Persekutuan, anda juga dibenarkan untuk ke masjid, surau Jumaat dan surau dengan syarat bersama-sama dengan mahram anda,” katanya lagi.

Bagi golongan warga emas pula, mereka disyaratkan agar sihat dan tiada syarat umur ditetapkan.

Bagaimanapun, kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, jemaah yang bergejala dan menghidap penyakit kronik tidak dibenarkan hadir buat masa ini. – MalaysiaGazette