Gambaar Hiasan. foto IQBAL BASRI, 18 APRIL 2020

PUTRAJAYA – Ketua Kampung dan Jawatankuasa Penduduk perlu memainkan peranan bagi memastikan komuniti setempat bebas daripada wabak Covid-19 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pemimpin setempat perlu prihatin dan saling menasihati antara satu sama lain agar pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan virus itu menjadi amalan baharu setiap komuniti.

“Untuk pemerkasaan komuniti iaitu tindakan kita, kita nasihatkan rakyat bertanggungjawab sosial bersama dan juga mematuhi SOP yang dikeluarkan KKM.

“Apa yang penting kita kena amalkan cegah dan didik, iaitu menggunakan maklumat-maklumat terkini di KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) untuk pencegahan dan pendidikan dalam komuniti.

“Yang pasti kadang-kadang kita tahu, yang lebih penting ialah amalkan iaitu kerap cuci tangan, guna mask di kawasan awam, dan juga jaga kebersihan diri, kita kena pantau sama ada diamalkan di komuniti tersebut,” katanya ketika sidang media harian Covid-19 di KKM hari ini.

Menyedari saranan KKM demi mencegah Covid-19 adalah langkah mudah untuk diikuti namun dalam masa yang sama Noor Hisham tidak menolak ia sukar diamalkan.

“Saranan KKM mudah, tetapi mungkin sukar diamalkan, jadi yang penting budaya kita kena berubah kena amalkan apa yang disarankan KKM,” tambah beliau. – MalaysiaGazette