KUALA LUMPUR – Mulai minggu depan, sidang media harian mengenai laporan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan diadakan tiga kali seminggu.
Sidang media diadakan pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sidang media harian oleh Ismail diadakan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan kali pertama pada 18 Mac lalu setiap jam 2 petang.
Sepanjang tempoh itu, Ismail mengemas kini laporan operasi pematuhan PKP yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
Katanya, usaha Malaysia menangani penularan wabak Covid-19 telah mendapat pengiktirafan global.
Malaysia adalah negara kelima terbaik dunia dalam penerimaan rakyat paling tinggi dalam mengekang koronavirus baharu itu.
Ismail mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.
Beliau berharap kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan melalui PKPP tidak menjadikan rakyat leka kerana usaha memutuskan jangkitan Covid-19 belum selesai.
“Pastikan kawalan kendiri dilakukan dengan mematuhi penjarakan sosial untuk kekal selamat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ismail turut mengucapkan terima kasih kepada barisan hadapan yang bertungkus-lumus mengekang wabak Covid-19.
Termasuk juga kepada keluarga mereka yang memahami dan menyokong tugas barisan hadapan kepada negara. – MalaysiaGazette