Tiada kontak rapat dalam pasukan Spurs selepas pemain Norwich diuji positif Covid-19 dan diasingkan untuk tujuh hari

LONDON- Tottenham Hotspurs hari ini mengesahkan tiada sebarang kes kontak rapat Covid-19 dalam kalangan pemain pasukannya selepas pemain Norwich City disahkan positif Covid-19 semasa saringan ke-1,200 semalam.

Pengurusnya Jose Mourinho dalam kenyataan hari ini mengesahkan semasa aksi persahabatan pra musim bersama Norwich tidak berlaku sebarang kontak rapat seperti yang dibimbangkan mana-mana pihak.

Liga Perdana Inggeris semalam mengesahkan bahawa dua lagi individu disahkan positif dalam saringan terbaharu dan salah seorangnya adalah pemain Norwich serta terlibat dalam aksi persahabatan secara tertutup dengan Spurs.

Pemain yang tidak dinamakan itu kini menjalani pengasingan untuk tujuh hari dan tidak akan beraksi dalam perlawanan menentang Southampton di halaman sendiri pada Jumaat ini.

Dalam pada itu Tottenham pada malam sama akan menerima kunjungan Manchster United di White Hart Lane.

Rentetan kes terbaharu Covid-19 terhadap Norwich, Spurs menegaskan mereka tidak ada kebimbangan mengenai aspek keselamatan walaupun telah beraksi dengan Norwich.

Menurut Spurs, ia telah mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) Kesihatan Awam iaitu Penjarakan Sosial yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Kontak rapat telah dikenalpasti oleh kerajaan, yang mana kes disahkan pada jarak 2 meter untuk 15 minit,’ jelas Spurs dalam kenyataan kepada BBC.

Pemain Norwich berkenaan dilaporkan tiada mempunyai sebarang kontak rapat dengan pemain Spurs dan ia turut disahkan oleh pengurusan tertinggi dan pasukan perubatan kelab tersebut.- MalaysiaGazette