File picture

KUALA LUMPUR – Kadar pengangguran di Malaysia boleh mencecah 6% atau mungkin lebih lagi pada tahun ini.

Semalam, Jabatan Perangkaan memaklumkan kadar pengangguran melonjak kepada 5%- tertinggi sejak tahun 1990.

Kadar pengangguran pada bulan Mac adalah 3.9%.

AmBank Group Research berkata, kadar pengangguran ini adalah lebih buruk berbanding semasa krisis kewangan Asia pada tahun 1997 dan kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 2008 apabila kadar pengangguran masing-masing naik kepada 3.2% dan 3.7%.

Dalam nota penyelidikannya, Ketua Penyelidik AmBank Research Group, Anthony Dass berkata, penutupan kebanyakan perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menutup peluang pekerjaan, malah mencari pekerjaan juga semakin sukar.

Menurut Dass, tekanan meningkat dalam jumlah pekerjaan yang hilang kekal dan bergantung kepada keupayaan perniagaan untuk menangani cabaran semasa.

Dass berkata, risiko syarikat masih tinggi, selain daripada menyusun semula dan terlibat dalam penggabungan dan pengambilalihan.

“Malah, setakat ini masih belum jelas bagaimana keadaan pasaran tenaga kerja ketika program subsidi upah yang bermula pada bulan April lalu berakhir nanti.

“Ini kerana skim itu memberikan bantuan kewangan kepada majikan yang menghadapi masalah pendapatan telah menyelamatkan 2.2 juta pekerjaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast