KUCHING – Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak berjaya mematahkan cubaan dua lelaki tempatan menyeludup keluar lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kampung Mapu Kijabu, Serian dalam operasi ‘Op Benteng Covid’ yang dijalankan di sempadan Malaysia-Indonesia.
Pegawai Pemerintah Batalion 11 Supt Rosdi Inai berkata cubaan berkenaan berjaya digagalkan oleh pasukan yang sedang membuat penugasan di sempadan pada 8.00 malam tadi.
“Semasa kejadian, dua kenderaan persendirian yang dipandu oleh dua warga tempatan disyaki membawa warga Indonesia telah ditahan untuk pemeriksaan semasa dalam perjalanan ke sempadan Malaysia-Indonesia.
“Hasil pemeriksaan kenderaan tersebut mendapati lapan lelaki warga Indonesia berada di tempat duduk penumpang di dalam kedua-dua kenderaan terbabit.
“Setelah membuat pemeriksaan, kesemua penumpang di dalam dua kenderaan tersebut tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosdi berkata, kes dan barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.- BERNAMA