Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu melanjutkan tempoh moratorium sehingga Disember ini memandangkan kadar pengangguran dijangka meningkat tahun ini ekoran pandemik Covid-19.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, lanjutan moratorium ini akan dapat meringankan beban rakyat yang terjejas khususnya mereka yang telah diberhentikan kerja dan hilang punca pendapatan.

“Selain beranggapan tindakan lanjutan ini memberi manfaat kepada semua, ianya juga dapat mengurangkan ruang ke arah masalah sosial dalam kalangan masyarakat.

Ia juga sejajar dengan matlamat negara untuk memulihkan ekonomi negara secara berperingkat kerana dalam masa yang sama langkah ini juga dapat membantu golongan peniaga kecil, usahawan muda dan para belia.

“Biarpun industri perbankan akan mengalami kerugian yang berganda berikutan lanjutan moratorium namun Gerakan percaya kerajaan mampu menjana penyelesaian terbaik untuk mengelakkan berlakunya defisit kewangan.

“Oleh itu, untuk memastikan matlamat memulihkan ekonomi negara dicapai, moratorium ini wajar dilanjutkan bagi membolehkan golongan perusahaan kecil PKS, usahawan muda, belia dan sebagainya mendapat bantuan daripada kerajaan sebaik-baiknya untuk merangsang semula perkembangan ekonomi ke arah yang lebih mampan,” katanya lagi.

Akibat penularan Covid-19 yang membawa tindakan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula Mac, institusi perbankan tempatan melaksanakan penangguhan pembayaran beberapa kategori pinjaman bank secara automatik dalam usaha membantu ekonomi negara.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast