Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Kementerian dan agensi kerajaan dibenarkan untuk melaksanakan proses temuduga secara bersemuka bagi pengambilan kakitangan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam akan menyediakan prosedur operasi standard proses (SOP) temuduga secara bersemuka.

SOP itu akan disemak oleh Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Perdana Menteri untuk kelulusan.

“SOP yang telah diluluskan akan digunakan sebagai rujukan oleh semua kementerian dan agensi dalam mengendalikan proses temuduga,” katanya dalam sidang media hari ini.

Selain itu, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan juga bersetuju untuk membenarkan penganjuran mesyuarat, seminar, bengkel, kursus, latihan dan persidangan oleh pihak kerajaan dan swasta.

Kebenaran itu tertakluk kepada SOP yang ditetapkan iaitu:

1. Jumlah maksimum adalah 250 peserta mengikut kapasiti ruang penganjuran.
2. Penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter.
3. Semua peserta perlu memuat turun aplikasi MySejahtera dan mengimbas QR code sewaktu proses pendaftaran.
4. Penganjuran majlis di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan adalah tidak dibenarkan.
5. Pesakit di bawah siasatan dan pengawasan tidak dibenarkan hadir. – MalaysiaGazette