Rumah tradisional di Melaka menggamit kenangan.

Marhaba… Che Pah rasa selepas perintah me rentas negeri ditarik semula, ramai diantara kita mula berasak balik kampung.

Che Pah tengok melalui saluran YouTube, lebuh raya sesak setiap hujung minggu. Terutama lebuh raya yang menghala ke Pantai Timur.

Ada pula rakan Che Pah di dalam muka buku yang memuat naik gambar bersama keluarga di kampung. Ibu dan bapa di kampung meraikan anak yang pulang dari perantauan dengan memasak masakan seperti menyambut hari raya.

Maklum raya itu hari anak cucu tidak dapat pulang. Maka inilah masanya menggayakan baju Raya serta menikmati juadah Raya. Raya fasa kedua, kata mereka.

Che Pah tumpang seronok. Ini menunjukkan kebanyakan kita masih sayang dan ingat kepada kampung halaman. Dimana bumi dipijak disitu langit dijunjung. Maknanya kita masih punya jati diri.

Bandar Muar juga sehari dua ini sesak. Kedai makan semua penuh. Sarapan pagi jam 8 pagi sudah licin.

Bercakap tentang melancong atau balik bercuti di kampung ini membuat Che Pah mengimbau sebuah kenangan lama. Kenangan yang mungkin tidak dikecapi oleh generasi sekarang.

Bila tiba musim cuti sekolah, Che Pah dan adik beradik akan menghabiskan separuh dari percutian kami samada di rumah ibu saudara Che Pah yang saya panggil Umi Sidah atau ke rumah kakak Che Pah di Kuala Lumpur.

Jika ke Melaka atau lebih spesifik ke kawasan Kuala Sungai Baru, tempat Umi Sidah dan Ami Aman tinggal. Umi Sidah dan Ami Aman ialah ibu dan bapa saudara Che Pah. Umi Sidah ialah adik kepada Walid Che Pah.

Kami orang Arab tidak menggunakan ganti nama Pak Long atau Mak Long seperti orang Melayu. Pak cik kami gunakan ganti nama Ami dan bagi mak cik pula Umi atau Ammati.

Che Pah orang paling seronok kalau dapat menghabiskan cuti sekolah di rumah Ami Aman. Sesuatu yang sangat Che Pah tunggu.

Ini kerana ia berdekatan dengan pantai dan kawasan kampung. Ami Aman rajin melayan kami adik beradik. Boleh dikata setiap petang Ami Aman akan bawa kami mandi di pantai atau sekadar meronda kawasan kampung.

Che Pah suka sangat dengan suasana kampung. Che Pah suka lihat rumah Melayu tradisional. Che Pah anggap rumah tradisional Melayu sangat unik dan punya roh disebalik pembikinannya.

Kedua dua aktiviti ini Che Pah suka. Tetapi Che Pah paling suka meronda kampung. Che Pah suka tengok rumah tradisional di Melaka. Che Pah jadi leka meninjau halaman rumah orang kampung yang dihiasi banyak pokok bunga.

Kebanyakan rumah di kampung, halamannya bersih dan kemas. Halaman rumah pasti dihiasi dengan pokok bunga kertas. Cantik teratur pasu bunga menghiasi setiap sudut halaman.

Selain itu Che Pah gemar dengan sikap ramah-tamah orang kampung. Mereka tidak sombong. Apatah lagi Ami Aman pula boleh dikira sebagai orang kuat di sana. Maklumlah postmen. Pasti ramai yang kenal.

Kadang kadang selepas makan malam dan usai solat Isyak, Ami Aman akan bawa kami ke rumah seorang kenalan Ami Aman yang terletak di Tanjung Dahan.

Kenalan yang Che Pah maksudkan ialah seorang tukang urut yang terkenal. Kami panggil dia dengan nama Long Nenot. Long Nenot bukan sahaja kenalan malah sudah seperti saudara angkat buat Ami Aman.

Ami Aman panggil Long Nenot dengan panggilan Akak. Manakala Long pula memanggil Ami Aman dengan panggilan Habib.

Long Nenot sangat pakar mengurut. Orangnya kurus. Suaranya serak garau walaupun dia seorang perempuan.Kalau mengurut sampai ke tulang kita berasa. Punyalah kuat tangan dia. Mengalahkan lelaki.

Che Pah orang paling gembira apabila Ami Aman ajak ke rumah Long. Bukan apa, saya suka rumah tradisional Long Nonet.

Rumah Long Nenot adalah sebuah rumah tradisional Melaka. Apabila datang kami biasanya kami akan naik ke rumah ikut tangga di bahagian tengah rumah. Tangga kayu yang mempunyai lima atau enam anak tangga.

Perlu berhati hati menaikinya. Jika tidak pasti terpelecok diantara mata tangga. Sesudah naik ke rumah, Long Nenot bentang tikar. Kami duduk menghadap Long Nenot.

Sayup sayup kedengaran bunyi pukulan ombak. Di belakang rumah Long Nenot ialah pantai. Rumah Long Nenot berdekatan Selat Melaka. Pantainya sangat cantik dengan pasir memutih terbentang meluas.

Leka Che Pah mendengar bunyi pukulan ombak silih berganti. Umpama sebuah irama alam yang sangat mengasyikkan. Ini ditambah pula dengan bunyi cengkerik yang menimbulkan suasana kampung yang sangat menenangkan.

Kala duduk di ruang tengah rumah, Che Pah ralit memandang ke dinding rumah Long Nenot. Beratur dulang lama bercorak bunga dari bersaiz kecil sampai besar.

Di satu sudut yang lain pula botol botol kaca yang berisi gula dan kuih muih kemas beratur. Bersih berkilat semua botol kaca tersebut

Sambil duduk berbual sebelum memulakan urutan, Long hidangkan kopi panas. Benda yang paling Che Pah tunggu pun diangkat dalam dulang.

Nak tau apa?.. Kuih bahulu tradisional bercorak ikan dan bunga kemboja. Ini yang paling Che Pah tunggu.

Tuhan makbulkan doa Che Pah nampaknya. Seolah Long Nenot tahu apa yang tersirat dalam hati Che Pah. Maklum masa itu masih budak budak. Semuanya sedap.

Bahulu dulu tidak sama seperti bahulu sekarang. Bahulu dulu tahan lama. Rasanya manis. Bersakar dengan gula.

Rasanya pun lebih enak kerana dibakar menggunakan sabut. Bau pun lebih harum. Lagi sedap bila diminum bersama kopi pekat dan panas.

Bahulu sekarang sudah seperti mufin atau kek. Hayat pun tidak lama. Cepat rosak dan berkulat. Tidak punya rasa seperti dulu. Makin pula bila diberi pelbagai perasa. Hilang sudah identitinya.

Che Pah kurang faham mengapa bahulu harus diberi perasa coklat, strawberi, pisang dan macam macam lagi. Bagi Che Pah bahulu sudah sedap dengan perisa aslinya. Tidak perlu dibega.

Namun Che Pah faham hasrat peniaga. Mereka mahu mencipta kelainan bagi menarik perhatian pembeli. Desakan komersil memungkinkan perubahan ini terjadi.

Long Nenot kemudiannya mempersilakan kami minum. Manakala tangan Long pula sibuk menggulung rokok daun. Diambil daun rokok, dicubit sedikit tembakau dan diletak dalam daun.

Kemudian Long Nenot gulung daun tersebut sehingga menjadi rupa sebatang rokok. Rokok daun itu kemudiannya di letak dicelah bibir. Long capai mancis cap lada.

Digoresnya mancis sambil dicucuhkan rokok pada api mancis.Setelah rokok menyala, Che Pah lihat Long leka menghisap rokok.

Waktu itu Che Pah hairan. Hati terus bertanya. Boleh ke perempuan hisap rokok? Jiwa kewartawanan Che Pah diasak seribu pertanyaan.

Ah, tidak boleh jadi. Maka persoalan lantas Che Pah lontarkan kepada Umi Sidah. Che Pah tidak mahu tergapai gapai mencari jawapan Sambil tersenyum Umi Sidah memberi jawapan.

Kata Umi Sidah Long sudah tua. Maka tidak menjadi hal jika Long menghisap rokok. Akan tetapi kurang elok jika perempuan muda merokok apatah lagi di khalayak ramai. Long pun kata Umi Sidah hanya menghisap rokok di dalam rumah.

Baru puas hati Che Pah dapat jawapan. Namun jawapan Umi Sidah nampaknya sekarang sudah tidak serasi lagi.

Manakan tidak, wanita sekarang dengan selamba menghisap rokok. Tidak cukup merokok, ada yang tidak segan silu menghisap shisha.

Setelah rokok palsu dicipta kini, perempuan pun tumpang sekaki. Berkepul kepul asap dihembus. Sama naik dengan kawan lelaki.

Berbalik cerita Long Nenot tadi. Selesai berbual, Long Nenot mula mengurut. Namun belum selesai Umi Sidah mengurut, Che Pah sudah hanyut di lautan sepi.

Che Pah hanyut dibuai bunyi hempasan ombak yang membadai pantai. Mata Che Pah semakin layu serta tidak betah melayan gemersik bunyi cengkerik yang menjadi santapan telinga.

Mungkin ada di antara awak semua yang punya pengalaman manis sebegini. Ceritakan kepada anak anak awak.

Bawa anak-anak meninjau kampung. Tunjukkan kepada mereka sungai, hutan, lopak, denai yang awak bersama kawan sekampung redah dulu.

Jika boleh, bawa mereka merasa bersama. Lalui semula pengalaman sewaktu kecil awak bersama anak anak. Ia mesti manis untuk dikenang nanti.