PUTRAJAYA – Perkembangan terbaharu kes Covid-19 pada hari ini menyaksikan 14 kes positif baharu direkodkan dan tujuh daripadanya melibatkan kes bukan warga negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr.Noor Hisham Abdullah berkata, angka terbaharu setakat 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,529 kes.

Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 408 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Ingin dimaklumkan daripada 14 kes baharu yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan dua warga negara Malaysia dan satu bukan warga negara yang merupakan pemastautin tetap.

“Daripada 11 kes penularan di dalam negara, tujuh kes adalah bukan warga negara manakala empat kes adalah warga negara,” katanya dalam kenyataan jangkitan semasa Covid-19 di sini.

Tambah beliau, bagi tujuh kes jangkitan dalam negara melibatkan bukan warga negara menyaksikan dua kes direkodkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu satu kes kontak rapat kepada kes positif (kes ke-8455 dan kes ke-8,508) yang merupakan rakan serumah.

Satu lagi kes merupakan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-8498) juga merupakan rakan serumah manakala satu lagi kes kontak rapat kepada kes positif Covid-19 ((kes ke-8368) dikesan Selangor iaitu merupakan ahli keluarga kepada kes ke-8,368.

“Sarawak merekodkan dua kes iaitu kedua-duanya kes saringan di tempat kerja sektor pembinaan manakala satu lagi kes saringan Orang Kena Tahan (OKT) di lokap di Ibu Pejabat Polis (IPD) Penampang.

“Satu lagi kes adalah dikesan di Perak iaitu satu kes saringan sebelum memohon pulang ke negara asal beliau,” ujar beliau.

Bagi empat kes melibatkan warga negara Malaysia di dalam negara pula, kata Noor Hisham dua kes melibatkan Kuala Lumpur iaitu dua kes Kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil yang merupakan kakitangan bertugas di sana.

Manakala dua lagi kes positif warga tempatan masing masing di kesan di Sarawak iaitu satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching; dan satu lagi kes saringan untuk ke luar negara atas urusan penting.

“Sehingga kini, sebanyak empat kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Terdapat 127 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,000 kes (93.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini sekaligus jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes (1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast