Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mencuba simulasi pemanduan bas ketika lawatan kerja Pengerusi Kumpulan Prasarana megenai aplikasi ‘Rapid KL Bus Info Availability in Google Transit’ di Akademi Bas, Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan, Balakong. foto MOHD ADZLAN, 18 JUN 2020.

BALAKONG – Anak Syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) iaitu Rapid Bus Sdn.Bhd selaku pengendali perkhidmatan bas Rapid KL, Go KL dan Smart Selangor melancarkan perkongsian data melalui aplikasi Google Maps secara rasmi hari ini.

Ia bakal memanfaatkan ribuan pengguna perkhidmatan bas awam di sekitar Lembah Klang dan Selangor.

Dilancarkan oleh Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan hari ini, aplikasi berkenaan yang menggunakan data yang disediakan oleh Rapid Bus berupaya membantu warga kota untuk merancang perjalanan mereka.

Tajuddin berkata, diusahakan dengan kerjasama bersama Google, aplikasi yang menggunakan platform terbuka Google membolehkan para penumpang untuk menyemak lokasi semasa sebenar atau real time bas Rapid KL untuk hampir 170 laluan bas di Lembah Klang termasuk bas perantara LRT, Go KL dan beberapa laluan-laluan perkhidmatan bas Smart Selangor yang terpilih.

“Di bawah perancangan masa depannya, Rapid Bus akan meluaskan capaian kepada bas perantara MRT, Rapid Penang di Pulau Pinang dan Rapid Kuantan di Pahang.

“Selain perjalanan bas, perkongsian data tersebut melalui Google Maps turut menyajikan pilihan perjalanan lain seperti kombinasi perkhidmatan bas dan rel, memberikan maklumat hentian bas dan jangkaan masa perjalanan.

“Dengan memiliki maklumat-maklumat ini, para penumpang boleh melakukan aktiviti lain ketika menanti bas dan menuju ke hentian sejenak sebelum ketibaan bas,” katanya.

Menurutnya, pada masa sekarang, Rapid KL banyak menerima pertanyaan mengenai lokasi bas daripada pelanggan sehingga 4,865 pertanyaan daripada Januari sehingga April lalu.

Secara amnya, lebih 60 peratus pertanyaan yang diterima daripada pelanggan bas adalah mengetahui kedudukan atau kekerapan bas dariapada para penumpang yang sedang menunggu.

Tambah Tajuddin, sejak tahun 2010, pihaknya hanya mengumumkan kedudukan bas kepada penumpang menerusi khidmat Pusat Panggilan Rapid Bus sahaja.

Dengan inisiatif baharu Data Google Maps ini, penumpang bas tidak perlu lagi merujuk pusat panggilan tetapi boleh mengetahui kedudukan semasa sebenar bas Rapid kami sebelum merancang perjalanan mereka.

“Pada masa sekarang, Rapid KL menerima lebih 26,000 pertanyaan penumpang yang menyemak kedudukan bas Rapid dan ramalan kami mengenai data berkenaan ternyata benar

“Ia dapat membantu seseorang penumpang yang selama ini terpaksa menggunakan masa sejam untu perjalanan menaiki bas Rapid kini menjimatkan 45 minit dengan data Google Maps real time kedudukan bas.

“Apatah lagi dia boleh menggunakan 45 minit yang dijimatkan dalam menunggu bas untuk urusan lain yang penting di rumah sebelum meneruskan perjalanan,” jelasnya.

Ditanya sama ada Rapid KL mempunyai perancangan membangunkan aplikasi sendiri, katanya, ia sememangnya ada dalam pelan masa depan pihaknya.

Sebelum ini penumpang hanya berupaya mengambil jadual bas menerusi perancangan perjalanan atau journey planner dalam laman web Prasarana tetapi tidak boleh menjejaki kedudukan sebenar bas.

“Journey Planner sudah ada sejak 2016 muka surat pertama laman web Prasarana yang diakses 450,000 temu lawat dan waktu PKP sahaja diakses temu lawat dua juta orang.

“Jadi aplikasi ini agak menyeluruh apabila ia siap nanti ia akan menunjukkan kedudukan stesen selain kedai jual nasi lemak, serta butang kecemasan akan diletakkan selain ruang maklumbalas real time,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast