BALAKONG – UMNO yakin mampu mendapatkan kemenangan majoriti rakyat sekiranya pilihan Raya mengejut atau PRU-15 diadakan dalam masa terdekat.
Ahli Majlis Tertingginya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti yang membentuk kerajaan dengan kerjasama Perikatan Nasional (PN) sudah bersiap sedia untuk menghadapinya.
“PRU mengejut ke atau tidak mengejut ke.. kita sudah bersiap sedia, kalau tidak prepare pun kita akan meneruskan persiapan pilihan raya. Itulah Mesyuarat MT (Majlis Tertinggi) UMNO bincangkan meneruskan persiapan pilihan raya.
“Kita UMNO, kalau ada PRU atau tidak ada PRU, tidak ada masalah..cepat pun boleh, lambat pun boleh..lagi lama tiga tahun, kalau lagi cepat lagi baik,” katanya ketika ditemui selepas hadir ke Depot Rapid KL di Cheras Selatan dan melancarkan Data Google Maps Rapid Bus hari ini.
Ditanya sama ada PN mempunyai kelebihan untuk menang majoriti sekiranya PRU mengejut, Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, tindakan pemulihan yang diambil kerajaan menyelesaikan masalah rakyat sepanjang Covid-19 menyebabkan rakyat senang hati dibawah pemerintahan PN.
“Rakyat juga sudah senang hati dengan segala bantuan rakyat dan berharap mereka akan balik sokong UMNO, Bersatu dan Pas jika PRU diadakan nanti,” katanya.
Mengulas kenyataan Tan Sri Annuar Musa yang menyatakan bahawa lebih baik pembangkang tidak bertanding dalam PRK Chini, Tajuddin bersetuju.
“Betullah apa yang dia (Annuar) cakap.. (Pembangkang) tak payah menyusahkan rakyat letakkan calon di PRK DUN Chini. Kalau tengok keputusan dulu, statistik PRU sudah ia sebenarnya antara Pas dan UMNO.
“Takkan Pas dan UMNO yang sudah menjadi rakan nak bertanding dalam muafakat nasional, Bersatu juga kita dah berkawan takkan dia nak bertanding.
“Kalau PKR nak bertanding pun.. tengok keputusan dulu, berapa undi dia dapat itupun lebih 1,000 undi sahaja yang mana dia sudah tahu tidak boleh menang jadi kenapa hendak bertanding dan susahkan rakyat,” tegasnya.
Ketika ditanya, Tajuddin tidak mahu memberi sebarang komen mengenai perebutan calon Perdana Menteri oleh dua tokoh pemimpin pembangkang iaitu Tun Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.- MalaysiaGazette