Gambar hiasan.

KOTA TINGGI – Seorang lelaki mati ditembak pengawal keselamatan ketika cuba menyamun sebuah bank serta menahan seorang pelanggan sebagai tebusan di Felda Ayer Tawar 5, Kota Tinggi hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor SAC, Md Yusof Ahmad berkata dalam kejadian 2.04 petang itu, suspek yang berumur 19 tahun bersenjatakan sabit telah masuk ke kawasan perkhidmatan bank serta mengacukan sabit ke leher seorang wanita, pelanggan bank itu.

“Melalui rakaman CCTV (kamera litar tertutup) dan percakapan saksi, kita dapati suspek datang berseorangan dan terus tarik seorang perempuan yang berada di hadapan bank.

“Suspek kemudian campak beg beritahu nak duit sambil meletakkan sabit di leher mangsa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Ketika itu, katanya pengawal keselamatan yang berada dalam bank mengambil peluang melepaskan tembakan ke arah suspek dari jarak dekat iaitu kira-kira lima meter.

Katanya, tembakan mengenai bahagian rusuk kanan suspek dan suspek disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Md Yusof berkata, kakitangan dan pelanggan termasuk tebusan wanita itu terselamat  dalam kejadian tebusan yang berlaku kira-kira setengah jam itu.

Katanya, mayat suspek dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat dan menurutnya siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast