Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Wira Azhar Abdul Hamid bercakap pada sidang media mengenai Laporan Bersepadu Tahunan 2017 FGV di Menara FELDA, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 JUN 2018
Azhar Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR – Kakitangan FGV Holdings Berhad (FGV) yang terdiri daripada pengurusan kanan berpangkat pengurus besar dan ke atas akan mengambil dua hari cuti mandatori tanpa gaji dan pengurangan 20% elaun kereta mulai bulan Julai hingga Disember tahun ini.

Selain itu, Lembaga Pengarah FGV sebulat suara bersetuju untuk pemotongan fi sebanyak 20% berkuatkuasa dari bulan Julai hingga Disember 2020.

Selepas bulan Disember, lembaga pengarah akan mengkaji keadaan ekonomi global dan domestik sebelum membuat keputusan mengenai fi tahun depan.

“Pandemik Covid-19 telah menyebabkan gangguan ekonomi yang signifikan, di mana banyak industri telah terjejas teruk dan mengalami penurunan pendapatan.

”Akibatnya, langkah-langkah pengurangan kos telah dilaksanakan ketika syarikat-syarikat menghadapi impak kewangan kesan daripada wabak tersebut. FGV juga telah melaksanakan beberapa inisiatif pengurangan kos untuk mengukuhkan asas kewangan kami, dan mengawal aliran tunai bagi mengukuhkan keseluruhan kewangan kami.

“Kami bagaimanapun sedar akan kesan rasionalisasi kos ini terhadap petugas, oleh itu, langkah pertama ini akan dimulakan oleh lembaga pengarah dan pengurusan kanan,” kata Pengerusi FGV, Datuk Azhar Abdul Hamid.

Langkah-langkah ini adalah tambahan kepada rancangan rasionalisasi yang sedang berlangsung untuk mengurangkan kos tenaga kerja sebanyak 10% setiap tahun dalam jangka masa tiga tahun dari 2019.

Mengenai prestasi syarikat, Azhar menjelaskan, FGV mencapai transformasi operasi yang memberangsangkan pada tahun lalu tetapi merekodkan suku pertama yang lemah tahun ini.

”Saya yakin bahawa kami akan kembali dengan sedikit pemulihan pada suku kedua. Kami menjangkakan prestasi akan meningkat dengan ketara pada separuh kedua 2020 dengan mengekalkan sasaran tahun Kewangan 2020.

”Kami akan mengharungi cabaran ini, dan berhati-hati di dalam perancangan dan pelaksanaan kami untuk mengembalikan nilai kepada pemegang saham,” ujar beliau. – MalaysiaGazette